MARA Perkukuh Ekonomi Negeri

KOTA KINABALU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) berperanan penting dalam membantu mengukuhkan ekonomi negeri dan rakyat Sabah, termasuk membangunkan lebih 18,000 usahawan di negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata pencapaian itu dilaksanakan menerusi menerusi latihan keusahawanan, pendidikan kewangan perniagaan dan berkaitan premis perniagaan dengan peruntukan dana lebih RM1 bilion.

Musa berkata, usaha MARA itu adalah antara inisiatif ke arah melahirkan lebih ramai usahawan tempatan dalam pelbagai bidang di Sabah.

"MARA mewujudkan pelbagai kemudahan dan ilmu keusahawanan, selain mengambil berat aspek pendidikan di Sabah menerusi penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) termasuk di Ranau yang dirasmikan bulan lalu, iaitu MRSM kelima di negeri ini.

"Institusi pendidikan lain ialah Kolej Teknikal MARA dan Kolej Polytech MARA, selain menyediakan peluang kemahiran di 28 pusat GiatMara di seluruh negeri," katanya pada Makan Malam dan Penutup Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2017, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin.

Yang turut hadir ialah Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin; Naib Presiden Eksekutif OISCA Antarabangsa, Toshihiro Nakano dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Zulkifli Osman.

Musa berkata, kerajaan negeri menyokong penuh hubungan baik antara MARA dan Pertubuhan Perindustrian, Lanjutan Rohaniah dan Kebudayaan Antarabangsa (OISCA) yang terjalin selama 50 tahun.

"Program Latihan Kemahiran Lanjutan OISCA sejak sekian lama memberi manfaat kepada pelatih Bumiputera dan membuka pintu dalam rangkaian perniagaan membabitkan pelbagai bidang. Kerjasama ini meningkatkan keupayaan teknikal dan keusahawanan belia serta usahawan Malaysia," katanya.

Terdahulu, Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2017 berlangsung selama dua hari bermula kelmarin.

Forum yang dianjurkan buat kali keenam itu disertai kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada usahawan tempatan dan antarabangsa seperti Jepun, Korea, Brunei serta Azerbaijan.

Sempena majlis itu, Yahya turut menyampaikan Anugerah Kepemimpinan MARA-OISCA kepada bekas Ketua Pengarah MARA, Datuk Mohd Ridzuan Abdul Halim; Naib Presiden OISCA International, Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan Presiden OISCA International, Datuk Dr Yoshiko Nakano.-Berita Harian

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget