KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berada pada landasan untuk mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 5.2 - 5.7 peratus pada 2017 berbanding 4.2 peratus pada 2016, berikutan prestasi kukuh yang berterusan pada suku ketiga.
Bank Negara Malaysia (BNM), dalam laporan mengenai 'Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Ketiga 2017' yang dikeluarkan di sini hari ini, berkata permintaan dalam negeri dijangka menyokong pengembangan ini.
Ia berkata permintaan domestik berkembang 6.6 peratus pada suku ketiga tahun ini (Q2 2017: 5.7 peratus), disokong oleh pengembangan perbelanjaan sektor swasta (7.3 peratus; Q2 2017: 7.2 peratus) dan perbelanjaan sektor awam (4.1 peratus; Q2 2017: 0.2 peratus).
Bank pusat berkata penggunaan swasta meningkat 7.2 peratus (Q2 2017: 7.1 peratus), berikutan keadaan pasaran pekerja yang lebih baik, khususnya, upah sektor swasta yang terus mampan dalam keadaan penambahan peluang pekerjaan.
Pelaburan swasta meningkat dengan lebih kukuh pada kadar 7.9 peratus (Q2 2017: 7.4 peratus) terutama dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan, katanya.
"Dalam sektor perkilangan, perbelanjaan modal oleh subsektor berorientasikan eksport dan pasaran dalam negeri lebih baik pada suku itu.
"Sentimen perniagaan juga lebih optimistik, sejajar dengan keadaan permintaan luar dan dalam negeri yang menggalakkan," kata BNM.
Penggunaan awam berkembang 4.2 peratus (Q2 2017: 3.3 peratus) berikutan kadar pertumbuhan emolumen yang lebih cepat dalam keadaan perbelanjaan yang lebih berhemat untuk bekalan dan perkhidmatan, katanya.
Sementara itu, BNM berkata, pelaburan awam kembali pulih dan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 4.1 peratus pada suku tersebut (Q2 2017: -5.0 peratus) berikutan perbelanjaan aset tetap yang lebih tinggi oleh Kerajaan Persekutuan dan syarikat awam.
Dari segi penawaran, katanya, pertumbuhan disokong oleh pengembangan berterusan dalam semua sektor ekonomi.
Inflasi keseluruhan menyederhana kepada 3.8 peratus pada suku ketiga 2017 (Q2 2017: 4.0 peratus) terutamanya disebabkan oleh inflasi pengangkutan yang lebih rendah pada 11.7 peratus (Q2 2017: 13.4 peratus), katanya.
"Walaupun harga bahan api domestik meningkat pada suku ketiga disebabkan kenaikan harga minyak dunia, harga minyak domestik secara purata lebih rendah berbanding suku sebelumnya (petrol RON95 pada Q3 2017: RM2.09 seliter; Q2 2017: RM2.10 seliter)," kata BNM.
Sementara itu, inflasi teras stabil pada 2.5 peratus pada suku tersebut, katanya.
Bank pusat berkata peratusan barangan dalam bakul Indeks Harga Pengguna yang kadarnya melebihi dua peratus, pada amnya tidak berubah (Q3 2017: 34 peratus; Q2 2017: 33 peratus).
Pada suku ketiga, pengembangan tenaga kerja secara relatifnya setara dengan jumlah penambahan pekerjaan bersih, yang menyebabkan kadar pengangguran yang stabil sebanyak 3.4 peratus (Q2 2017: 3.4 peratus), katanya.
Permintaan pekerja juga bertambah baik apabila jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan di sebuah laman web carian pekerjaan utama meningkat kepada 68,794 jawatan pada suku ketiga (Q2 2017: 65,478)," katanya.
-- BERNAMA
Post a Comment