Saya Kena Perbetul Apa Yang Tak Dibuat - Najib

PENAMPANG: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau meluluskan peruntukan yang banyak untuk pembangunan Sabah dan Sarawak melalui Bajet 2018 demi memperbetulkan apa yang tidak dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kedua-dua negeri itu selama 22 tahun berkuasa.

Perdana Menteri berkata, jurang pembangunan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung perlu dihapuskan, namun mengakui ia mengambil sedikit masa kerana Tun Dr Mahathir sebelum ini tidak berbuat demikian sehingga menyebabkan wujud perbezaan ketara dalam soal berkenaan.

Beliau juga membidas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang baru-baru ini membuat kenyataan untuk membantu Sabah dan Sarawak, termasuk kesediaan mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Orang itu 22 tahun berkuasa tak buat (memajukan Sabah dan Sarawak), hari ini tersipu-sipu kata nak bantu... kalau nak buat, buatlah ketika ada kuasa, jangan dah tak ada kuasa baru nak buat, orang Sabah pun boleh fikir," katanya ketika merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-32 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Dalam ucapan penuh bersemangat di depan kira-kira 5,000 penyokong Barisan Nasional (BN) termasuk 1,400 perwakilan PBS, Najib yang juga Pengerusi BN, berkata kerajaan di bawah pimpinannya tidak pernah berniat mengambil hak Sabah melalui MA63 dan akan memulangkannya semula jika ada pihak terdahulu telah 'terambil' hak berkenaan.

"Sebab itu saya buat (bersetuju menubuhkan) RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Asing dan Keselamatan di Sabah), malah Tan Sri Musa beritahu sudah setengah juta pendatang asing tanpa izin (PATI) kita hantar balik.

"Syor Tan Sri Pairin (di bawah Jawatankuasa Teknikal RCI) boleh dibawa kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Musa untuk kita ambil tindakan susulan, begitu juga MA63, saya tak berniat ambil hak rakyat Sabah, kalau 'terambil' dulu, kita kena pulang balik.

"Ini perjuangan kita bersama, bukan PBS saja (mengkaji MA63). Saya berkongsi sentimen itu dan jangan bimbang kerana kalau nak sebut MA63, saya tidak memasukkan sesiapa di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), ISA pun sudah tiada sekarang," katanya.

Najib berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk mengkaji tafsiran berkaitan MA63 sebelum mengambil sebarang tindakan susulan demi kepentingan Sabah dan Sarawak.

"Kita akan mengadakan mesyuarat antara kerajaan Persekutuan dan negeri, kalau ada kata sepakat nanti saya akan umumkan. (Kajian) MA63 ini memerlukan masa sebab ada tafsiran dari segi undang-undang yang perlu kata sepakat (bersama pemimpin Sabah dan Sarawak)," katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat Sabah tidak perlu meragui kesungguhan BN memajukan negeri ini dengan menoleh kepada pembangkang, sebaliknya terus menyokong kerajaan sedia ada kerana semuanya sudah disediakan melalui pelbagai peruntukan besar seperti Lebuhraya Pan Borneo, kemudahan infrastruktur asas dan pembaikan sekolah daif.

"Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM500 juta melalui program Dana Mudahcara kepada kerajaan Sabah bagi pembangunan projek eco-tourism di Tanjung Aru di Kota Kinabalu yang akan menjadi tarikan tambahan kepada sektor pelancongan Sabah," katanya.

Mengenai PRU-14, beliau meminta ahli parti komponen dan penyokong BN agar tidak bertanya kepada beliau bila ia akan diadakan, sebaliknya masing-masing perlu tanya diri sendiri sama ada sudah bersedia memastikan BN terus mendapat mandat rakyat.-Berita Harian

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget