Articles by "Kes"

KUALA LUMPUR: Ibu bekas Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, mengemukakan saman terhadap dua cucunya kerana mendakwa mereka tidak memasukkan saham tiga buah syarikat ke dalam senarai aset harta pusaka dianggarkan bernilai RM1.3 billion.

Melalui saman difailkan pada 3 Januari lalu, Aminah Abdullah, yang memohon perisytiharan bahawa beliau sebagai ibu kandung dan mempunyai kepentingan ke atas harta pusaka itu, turut mendakwa kedua cucunya turut gagal memasukkan sebuah apartmen di Beacon Street, Boston Amerika Syarikat (AS) dalam senarai berkenaan.

Aminah, 85, menamakan anak sulung Allahyarham, Nur Anis, 34, dan Ikwan Hafiz, 32, sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Aminah selaku plaintif, berkata kedua-dua defendan yang dilantik sebagai sebagai pentadbir bersama harta pusaka Allahyarham, gagal memasukkan saham bagi tiga syarikat sebagai aset harta pusaka di dalam senarai aset dan surat kuasa mentadbir.

Plaintif berkata, defendan juga gagal memasukkan saham terbabit di dalam senarai tanggungan sejak 6 Julai 2017 dan sebuah apartmen di AS bernilai RM10 juta.

Dakwa Aminah, tindakan itu bertujuan menafikan hak dan kepentingan dirinya sebagai benefisiari (penerima yang mempunyai hak kepentingan) terhadap harta pusaka si mati.

Menurut plaintif, ketiga-tiga syarikat terbabit adalah syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insight Wawasan Sdn Bhd.

Dakwa plaintif lagi, dua cucunya gagal menyatakan anggaran nilai saham tiga syarikat itu yang bernilai RM1,384,312,154 selepas dua tahun enam bulan kematian Jamaluddin, dan gagal memberi maklumat mengenai harta pusaka sebelum plaintif melantik peguam mewakilinya.

Defendan kedua pula didakwa tidak memaklumkan bahawa beliau sudah memperoleh sijil faraid bagi harta pusaka daripada Mahkamah Tinggi Syariah pada 6 Oktober 2016.

“Kedua-dua defendan juga meminta saya menandatangani dua dokumen iaitu surat penolakan permohonan mereka untuk geran surat kuasa mentadbir harta pusaka simati dan satu ikatan perkiraan keluarga, tanpa saya diberi peluang mendapatkan nasihat undang-undang.

“Dalam keadaan ini, mereka mengetahui bahawa saya sudah melantik peguam iaitu Mohd Najib Hussain dan saya pula adalah buta huruf,” kata plaintif.

Sehubungan itu, Aminah menuntut, antaranya perisytiharan supaya defendan memindah milik saham ke dalam senarai aset dan surat kuasa mentadbir dan membayar dividen, bonus, keuntungan serta isu terbitan dari pegangan saham tiga buah syarikat itu ke dalam akaunnya dalam tempoh 21 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.

Peguam Aqilah Pawancheek yang yang mewakili Aminah, ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Norliza Hussin hari ini, berkata mahkamah menetapkan pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Firuz Jafril pada 2 Apri ini.

Sumber dari berita harian

BANTING: Seorang guru Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad di sini, mendakwa suspek kelihatan gelisah selepas membunuh pembantu tadbir wanita sekolah itu.

Beliau yang enggan dikenali berkata, lelaki itu kebiasaannya akan bersikap peramah dan kerap bersembang dengannya.

"Namun, ketika memasuki pejabat kira-kira jam 2.30 petang tadi, dia hanya menundukkan kepala apabila saya bertanyakan di mana Pengarah (Pengarah kolej itu) sambil menunjukkan ke arah bilik.

"Dia seolah-olah memikirkan sesuatu dan mungkin baru menyedari apa yang sudah dilakukannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang juga ketua kerani di kolej itu, dianggap pekerja yang baik dan komited.

"Suspek juga seorang yang ceria dan rajin menegur semua guru dan kami sememangnya masih terkejut dengan kejadian ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mayat mangsa, Zaimah Mahmod, 57, ditemui di stor pejabat sekolah berkenaan akibat dicekik dan ditikam dengan pisau oleh suspek berusia 28 tahun yang juga rakan sekerjanya.

Usaha NSTP untuk menemubual keluarga mangsa bagaimanapun gagal.

Wanita yang berasal dari Terengganu itu adalah ibu tunggal dan bertugas di kolej berkenaan sejak 18 tahun lalu.-Berita Harian

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan menyiasat berhubung video seorang remaja diikat dengan akar pokok oleh beberapa pelajar sekolah sehingga menjadi tular.

Bagaimanapun, JPN belum mengetahui sama ada kejadian itu berlaku di negeri ini atau sebaliknya walaupun pertuturan yang digunakan mereka dalam loghat Kelantan.

Pengarahnya Muhammad Zahari Othman, berkata setakat ini JPN belum menerima sebarang laporan atau maklumat mengenai kejadian itu.

"Saya baru melihatnya menerusi laman sosial yang diviralkan petang tadi.


VIDEO seorang remaja diikat dengan akar pokok oleh beberapa pelajar sekolah sehingga menjadi tular.
"Apa pun saya akan menjalankan siasatan segera termasuk meminta setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ia betul," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata, klip video tural itu menunjukkan pelajar lelaki jelas dianiaya oleh pelajar lain yang lengkap berpakaian sekolah.

Katanya, pelajar yang menjadi mangsa dalam kejadian itu dinasihatkan supaya melaporkan kepada pihak sekolah atau polis bagi memudahkan tindakan tegas diambil mengenai kejadian itu.

SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan berdepan dengan satu lagi pertuduhan baharu kerana keluar negara tanpa mengikuti laluan sah.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, Jamal yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh akan didakwa mengikut Seksyen 51 Akta Imigresen 1953/1963.

Menurutnya, pertuduhan baharu itu adalah susulan laporan polis dilakukan pihaknya sebaik saja Jamal diekstradisi ke negara ini pada 5 Julai lalu.

"Tarikh sebutan kes itu adalah pada 31 Julai ini, dan pertuduhan itu dibuat susulan laporan polis oleh anggota kita selepas beliau (Jamal) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tempoh hari," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dengan pertuduhan baharu itu, Jamal kini menghadapi lima pertuduhan secara keseluruhannya.

Empat pertuduhan sebelum ini adalah dua mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan satu bagi kes Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 224 kerana melarikan diri dalam tahanan yang sah.

Jamal, 48, sebelum ini dipercayai menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor pada 25 Mei lalu.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu kemudiannya ditangkap Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) ketika sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta pada 2 Julai lalu.

GOMBAK: Pengasuh wanita berusia 33 tahun yang juga suspek utama kes bayi lelaki berusia lima bulan ditemui mati di rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, di sini disambung reman selama tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, seorang lagi suspek berusia 36 tahun bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

"Mahkamah Majistret Selayang melanjutkan tempoh tahanan bermula Rabu hingga 17 Julai ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, pengasuh itu bersama-sama lagi seorang wanita berusia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh bayi Adam Rayqal Mohd Sufi.

Tempoh tahanan reman mereka berdua berakhir hari ini.

Pada 3 Julai lalu, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya sebelum mayatnya ditemui anggota polis di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama pada hari kejadian.

Susulan itu, pengasuhnya dan seorang lagi wanita ditahan pada hari sama dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi berkenaan.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala.

BINTULU: Dua sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terkorban selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dinaiki mereka terbabas ke dalam parit besar di Kilometer 5 Jalan Sibu - Bintulu, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Munipah Marzuki, 24, turut tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, manakala anak lelakinya, Mohammad Haiman Abdullah, 2, dipercayai terhantuk pada papan pemuka, menyebabkan kedua-dua meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan sebentar tadi mengesahkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala akibat pelanggaran yang kuat.

Manakala, lima penumpang lagi, termasuk pemandu terselamat dan hanya mengalami kecederaan serta trauma susulan nahas berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, kenderaan dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Jepak menuju ke pusat bandar.

"Siasatan awal mendapati ketika kenderaan dinaiki mangsa menuruni bukit berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Bintulu, ia hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan, sebelum terhumban ke parit besar berhampiran.

"Bagaimanapun, siasatan terperinci sedang dijalankan oleh pihaknya bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya insiden terbabit," katanya.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu, bagi tujuan bedah siasat.

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 3 Januari depan untuk sebutan semula kes dua remaja lelaki berusia 16 tahun atas pertuduhan membunuh 21 pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, September lepas.

Kedua-dua remaja itu dituduh bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas 21 pelajar dan dua guru di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 Sept lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin dijalankan secara tertutup kerana kes itu melibatkan tertuduh di bawah umur. Media termasuk anggota keluarga mangsa turut diperintahkan supaya tidak berada di dalam mahkamah semasa prosiding itu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail serta Nurakmal Farhan Aziz manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Joanne Chua Tsu Fae.

Di luar mahkamah Nurakmal Farhan memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan masih belum menerima laporan penuh termasuk laporan bedah siasat mangsa.

Sementara itu, Norazizan Abdul Razak, 46, bapa kepada Muhammad Taufik Hidayat Norazizan,16, yang maut dalam kebakaran itu, berkata kehilangan anak kedua daripada tiga adik beradik itu masih dirasai oleh seluruh ahli keluarganya.

“Memang rasa lain bila arwah sudah tiada tapi saya akan sentiasa mengikuti perkembangan ini ,” katanya dalam keadaan tenang.

Datin Hartini Abdul Ghani,48, ibu kepada Nik Muhammad Ridzuan Nik Azlan 12, yang terkorban dalam kejadian tragis itu pula berkata beliau perlu bangkit daripada kesedihan akibat kehilangan anak tersayang.

“Apa yang berlaku ada hikmah untuk saya bangkit daripada kesedihan. Saya perlu buat transformasi dalam masyarakat…sekarang ini bukan masa untuk salahkan sesiapa,” katanya.
–Bernama

AYER KEROH: Seorang lagi suspek direman seminggu, bermula hari ini membabitkan penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), bernilai kira-kira RM2.54 juta, sejak awal tahun lalu.

Perintah reman ke atas suspek lelaki yang juga seorang pesawah berusia 46 tahun itu, dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Majistret Hurman Hussain.

Penahanan suspek bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap SPRM tiba di perkarangan kompleks mahkamah, jam 10.45 pagi diiringi pegawai SPRM, sebelum keluar kira-kira 15 minit kemudian.

Suspek ditahan di pejabat SPRM negeri selepas hadir untuk memberi keterangan, jam 8.30 malam tadi.

Suspek dipercayai bersubahat bersama pengurus projek mengusahakan projek penanaman padi seluas 22.2 hektar yang dipajak di Merlimau, Jasin.

Sebuah kereta mewah jenis Audi A4 turut disita dipercayai dibeli menggunakan wang hasil jualan baja berkenaan.

Sebelum ini, BH melaporkan seorang pengurus projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Melaka berusia 38 tahun direman selama enam hari bermula semalam.

Suspek itu membuat 23 tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.54 juta membabitkan 56,700 kampit baja, sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan oleh Mesyuarat Penapis PPK.

Baja itu sepatutnya dituntut oleh PPK berkenaan bagi pihak petani di sektor penanaman padi yang menyertai SBPKP serta diagihkan kepada mereka.

Bagaimanapun, suspek dipercayai menjual semula baja terbabit bagi mendapatkan keuntungan peribadi.-Berita Harian

BERLEGAR-legar di hadapan bank sebelum melakukan samun terhadap mangsa di kalangan pelanggan bank.

Itu taktik dilakukan sekumpulan penjenayah menyasarkan mangsa yang baru melakukan pengeluaran wang dalam jumlah besar.

Terbaru, penjenayah berusia lingkungan 30-an menyamun seorang wanita yang baharu mengeluarkan wang di sebuah bank di Cheras Selatan di sini kelmarin, menyebabkan mangsa kerugian lebih RM30,000.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 56 tahun mengeluarkan wang untuk membayar gaji pekerjanya.

“Ketika mangsa berjalan ke arah kenderaannya terletak kira-kira 100 meter dari bank, muncul tiga lelaki bertindak menghunus parang dan meminta mangsa menyerahkan barangan berharga dibawa.

“Suspek turut merampas beg mengandungi wang tunai RM30,000 serta telefon pintar. Berlaku pergelutan sebelum mangsa ditetak,” katanya.

Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kedua-dua pergelangan tangan akibat ditetak manakala suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang menunggu mereka di lokasi kejadian.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Sabri Abdullah mengesahkan kejadian dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.-myMetro

SHAH ALAM: Tujuh dulang barang kemas bernilai kira-kira RM1.2 juta di sebuah kedai emas di sebuah pusat beli belah di Seksyen 14, di sini, lesap dilarikan empat penjenayah dalam kejadian samun bersenjata, malam ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner R Supramaniam berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, tiga lelaki yang berpakaian gelap serta memakai topi keledar penuh, dilihat memasuki premis rangkaian kedai emas terkenal itu sebelum melepaskan sedas tembakan ke arah siling.


Beliau berkata, seorang lagi rakan mereka berada di luar premis.

"Dengan menggunakan tukul, mereka memecahkan cermin meja pameran dalam kedai berkenaan sebelum melarikan barang kemas dalam tujuh dulang dari kedai ini. Mereka mengambil masa antara tiga hingga tujuh minit.

"Empat lelaki ini kemudian melarikan diri ke arah rakan mereka yang sudah menunggu dengan tiga buah motosikal di luar pusat beli belah.

"Kerugian pada masa ini dianggarkan berjumlah RM1.2 juta. Ketika kejadian ada empat pekerja kedai emas dalam premis terbabit selain tiada pelanggan dan tiada kecederaan dilaporkan," katanya kepada pemberita.

Supramaniam berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan sepucuk pistol jenis revolver.

Beliau berkata, pengawal keselamatan di kedai emas itu berada di luar premis ketika kejadian.

Katanya, kedai itu juga dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain meminta mana-mana pemilik premis berdekatan yang juga mempunyai sistem kamera pengawasan serta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul berkata, tiga suspek kes samun itu dilihat tidak tergesa-gesa ketika menghampiri premis berkenaan kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Beliau berkata, ketika itu beliau berasa pelik memandangkan ketiga-tiga lelaki berkenaan mengenakan topi keledar penuh serta berbaju warna gelap.

Katanya, beliau memanggil rakannya sekerjanya sebelum terdengar bunyi tembakan yang kuat serta sedikit asap.

"Sebaik terdengar bunyi tembakan saya dan rakan terus melarikan diri ke arah bertentangan.

"Saya kemudian nampak ketiga-tiga mereka berjalan dengan bersahaja keluar dari premis kedai emas itu dengan menggenggam barang kemas yang disamun sebelum berlari keluar pusat beli belah ini selepas menyedari pengunjung menjerit ke arah mereka," katanya.-Berita Harian

KOTA KINABALU: Dua bekas banduan termasuk seorang yang baru sahaja dibebaskan dari penjara ditahan kerana melakukan rompakan bersenjata, di sini.

Suspek yang berusia 28 dan 31 tahun ditahan di lokasi berasingan pada 14 dan 15 November lalu, selepas melakukan rompakan ke atas dua lelaki berdekatan Asia City pada 11 November.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M.Chandra berkata, suspek telah mengambil telefon pintar, duit, kad ATM dan maklumat pengenalan diri mangsa dalam kejadian pukul 11.40 malam itu.

Sewaktu kejadian, dua mangsa yang berusia 20 dan 21 tahun dikatakan sedang berjalan di sebuah lorong untuk mencari makanan sebelum dihampiri suspek yang membawa pisau.
Mereka membuat laporan polis sejurus insiden itu.

Berdasarkan maklumat, polis menahan suspek pertama pukul 9.10 malam pada 14 November.
"Suspek kedua, dipercayai sebagai dalang utama rompakan ditahan pukul lima pagi hari berikutnyaa," ujar Chandra.

Beberapa barang yang disamun turut ditemui semula.
Terdahulu, dua suspek berkenaan pernah dipenjarakan kerana kesalahan dadah.

Suspek pertama juga baru sahaja menamatkan hukuman kerana kesalahan merompak.
Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek positif dadah.-mStar


KANGAR: Seorang pemandu bas cedera ditikam penumpang yang dipercayai berang setelah ditinggalkan kenderaan awam itu di Stesen Bas Shahab Perdana di Alor Setar, Kedah sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen Bas Ekspres di Jalan Bukit Lagi di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata dalam kejadian 11.02 pagi itu, suspek dikatakan turun dari bas untuk ke tandas semasa ia berhenti di Stesen Bas Shahab Perdana, namun setelah kembali dia mendapati kenderaan itu telah bertolak ke Kangar.

"Kemudian suspek bertindak marah di kaunter bas sebelum menyewa sebuah teksi untuk ke Kangar," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.
Beliau berkata sebaik tiba di stesen bas Kangar, suspek meluru masuk ke dalam bas yang dipandu oleh mangsa berumur 33 tahun, melalui pintu hadapan dan terus menikam mangsa di bahagian bahu kiri.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Fauziah untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang, setelah doktor mengesahkan tiada kecederaan serius selain mengalami luka tikaman sedalam tiga sentimeter, katanya.
Susulan kejadian itu katanya polis merampas sebilah pisau, sehelai kemeja-T berkolar warna hijau serta satu beg pakaian, manakala polis masih mengesan suspek yang sudah dikenal pasti. - BERNAMA


KOTA BHARU - Kegiatan licik sindiket penyeludupan menggunakan bas ekspres sebagai kenderaan untuk menyeludup Pendatang Tanpa Izin (Pati) dari sempadan Thailand ke Kampung Manal, di Tanah Merah akhirnya tumpas selepas mereka berjaya dikesan Jabatan Imigresen Kelantan di sini semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa kira-kira jam 11.30 pagi, hasil maklumat awam dan hasil intipan yang dilakukan mendapati terdapat sebuah kenderaan yang mencurigakan dan setelah diekori, kereta itu berhenti di belakang sebuah bas ekspres.

Hasil pemerhatian mendapati, terdapat penumpang dalam kereta disyaki Pati dan mereka menaiki bas tersebut.

Pengarah Imigresen Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, ekoran itu pihaknya telah melakukan serbuan dan pemandu kereta terbabit meloloskan diri dengan melompat masuk ke sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang juga berada di kawasan itu dan terus memecut laju.

Ekoran keadaan itu, pegawai imigresen terus ke pergi ke arah bas terbabit dan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan hasil pemeriksaan lanjut di dalam bas mendapati, terdapat dua perempuan dan 12 lelaki warga asing.

“Kita arahkan bas dan kereta terbabit dibawa ke depoh tahanan Imigresen Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut.

“Kesemua Pati berkenaan merupakan warga negara Myanmar berusia antara 19 hingga 37tahun,” katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya turut menjalankan tangkapan terhadap kedua-dua pemandu bas dan turut merampas kereta jenis Proton Waja dan mereka turut ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akti Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan akan diserahkan kepada Imigresen negeri untuk tindakan lanjut.

"Kita turut memberi amaran keras kepada pengusaha dan pemandu bas ekspres bahawa mereka akan dikenakan tindakan tegas jika disabit kesalahan penyeludupan Pati atau pemerdagangan orang.

“Ini selari dengan arahan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang menyatakan mereka serius dan tidak akan berkompromi dalam kes seumpama ini dan bertindak tegas kepada yang terlibat,” katanya.-Sinar Harian

Mohamad Roy Suhaimi Sarif
KUALA LUMPUR: Seorang wanita ejen hartanah berdepan situasi cemas apabila seorang lelaki bersenjata pistol melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan dipandunya berhampiran sebuah kondominium di Jalan Setapak Indah dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa yang berusia 31 tahun pada mulanya sedang berada dalam kenderaan jenis Mercedes Benz C200 yang diparkir di tepi jalan berhampiran kondominium itu sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup.

Lelaki itu kemudian mengetuk cermin tempat pemandu dengan satu objek kelihatan seperti belakang pistol menyuruh wanita itu keluar daripada kenderaannya.

Bagaimanapun, wanita itu terus mengundurkan keretanya dan cuba memecut kenderaan menyebabkan suspek melepaskan satu das tembakan ke arahnya.

Dalam usahanya menyelamatkan diri, kenderaan mangsa terlanggar sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dipercayai rakan suspek pertama, yang cuba menghalangnya melarikan diri.

Namun mangsa terus mengundurkan kenderaan dan berjaya meloloskan diri sebelum terdengar satu lagi das tembakan dilepaskan.

Sumber memberitahu, mangsa terus memandu ke sebuah pusat perniagaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dan menelefon seorang rakan seterusnya membuat laporan polis.

"Pemeriksaan menemui kesan tembakan pada lampu kanan selain menemui satu peluru yang mengenai tayar kanan kenderaan mangsa.

"Susulan kejadian itu, pihak polis merakam percakapan mangsa dan teman lelakinya kerana kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah milik lelaki berkenaan," kata sumber.

Kata sumber lagi, ketika kejadian, mangsa baru parkir kenderaannya di lokasi terbabit untuk ke pejabatnya yang terletak kira-kira 100 meter dari situ selepas tiada ruang parkir kosong berhampiran pejabatnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan berhubung motif sebenar kejadian masih dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.-Berita Harian

Kamarul Azran Wan Yusof
SLIM RIVER: Polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 50-an kerana dipercayai merogol anak saudaranya di sebuah rumah kosong, di sini.

Suspek ditahan semalam selepas mangsa berusia 14 tahun membuat laporan polis pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata mangsa membuat laporan polis bersama ibunya kerana tidak tahan dengan perbuatan suspek.

Katanya, hasil siasatan polis, mangsa mengaku pernah dicabul empat kali dan kali terakhir perbuatan itu dilakukan Ahad lalu ketika mangsa sedang berehat di ruang tamu rumah neneknya di sebuah kampung, di sini.

"Mangsa juga memberitahu pernah dirogol sekali di sebuah rumah kosong ketika suspek hendak menghantar mangsa ke sekolah pada Mac lalu.

"Mangsa tinggal bersama neneknya dan suspek selepas ibu bapa mangsa bercerai.

"Mangsa sebelum ini tidak berani membuat laporan polis selepas dipercayai diugut tidak memaklumkan kejadian cabul dan rogol itu (kepada orang lain)," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan pihak hospital mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa dan mangsa kini menerima rawatan.

Katanya, suspek yang masih bujang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan.

KOTA BHARU: Tiga beranak mati ditikam manakala seorang cedera parah dipercayai diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, semua mangsa dipercayai mati ditikam pada bahagian badan termasuk dipukul di kepala dengan menggunakan objek keras.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad, berkata kejadian itu membabitkan sebuah keluarga yang dikenali Kha Eng Ni (42) dan isterinya; Chua Joo Seok (37) serta anak lelaki, Kha Zee Hanz (13), yang maut ditikam.

Katanya, seorang lagi anak perempuan Eng Ni, Kha Xing Ruu (15), cedera parah dan kini dikatakan dalam keadaan kritikal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Serangan berlaku ketika mangsa sedang melakukan pemeriksaan barang perkakasan di sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan petang tadi.

"Ketika mereka sedang memeriksa barangan, didatangi seorang lelaki yang tiba-tiba menyerang keluarga itu seorang demi seorang menggunakan senjata pisau dan objek keras yang didapati di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.

Difahamkan, tiga mayat terbabit ditemui dalam keadaan meniarap dan terduduk dengan masing-masing terdapat kesan tikaman pada bahagian badan serta cedera parah di kepala.

Mayat Eng Ni ditemui di ruang tamu, Joo Seok pula di dapur manakala anak lelakinya di hadapan pintu masuk.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kejadian itu bermotifkan dendam kerana difahamkan suspek juga seorang pekerja kepada mangsa.

"Kita sudah mengenal pasti identiti suspek dan polis sudah mengarahkan anggota di lapangan bagi mengesannya.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya sambil menambah yang suspek turut melarikan sebuah kenderaan milik mangsa.-Berita Harian

POLIS giat memburu warga Pakistan yang juga pekerja lombong bijih susulan kematian dua rakannya dalam kejadian di tapak lombong bijih besi di Aring, Gua Musang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, suspek dikenali Khan Amjad Ali, 21, dipercayai menghilangkan diri sejurus kejadian.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek masih berada di dalam negara dan usaha mengesannya giat dilakukan.

"Kita sedang kesannya untuk bantu siasatan kes ini. Suspek difahamkan baharu sebulan bekerja di tapak lombong itu.

"Dia menghilangkan diri selepas kematian mangsa, namun kita percaya dia tidak pergi jauh kerana tidak membawa bersama passport," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai yang melihat lelaki itu supaya menghubungi pihaknya atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian jam 11.25 pagi Isnin, dua lelaki iaitu warga Bangladesh, Mohamad Younus Ali, 38 dan warga Pakistan, Saleem Shah, 29, maut selepas tersepit dalam mesin basuh batu.

Mereka sebelum itu dikatakan sedang membaiki bilah palong cuci batu di dalam mesin, sebelum diarahkan keluar.

Bagaimanapun, sebelum sempat keluar, seorang pekerja lain membuka suis mesin mengakibatkan mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:11 PM
-myMetro

TUJUH individu termasuk seorang wanita Vietnam disyaki ahli kumpulan pengedar dadah dicekup dalam serbuan berasingan di sekitar Perlis bermula Jumaat lalu hingga pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan berkata, suspek berusia 30 hingga 43 tahun itu yang disyaki menganggotai kumpulan berbeza, ditahan hasil risikan dan operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis di sekitar Arau dan Padang Besar.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan lelaki warga tempatan dan wanita Vietnam,kedua-duanya berusia 30-an di Beseri, Padang Besar pada 10.50 pagi, Jumaat lalu.

"Mereka ditahan ketika menaiki kereta Suzuki Swift warna hitam dan hasil pemeriksaan lanjut polis menemui satu beg kain berwarna biru berisi sembilan bungkusan kecil plastik lutsinar berisi dadah.

"Empat bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 52 gram, empat bungkus berisi heroin seberat 88 gram dan satu bungkusan serbuk putih disyaki dadah ketamin seberat 11.5 gram serta 158 biji pil Eramin 5," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Beliau berkata, tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki berusia 30-an di rumah sewanya di Arau, jam 12.30 tengah malam Isnin lalu.

"Dalam serbuan itu suspek cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditangkap.

"Pemeriksaan fizikal dilakukan terhadapnya, kita menemui lima bungkusan kecil plastik cerah mengandungi syabu anggaran berat keseluruhan 22 gram, satu plastik kuning mengandungi 12 biji pil Yaba (kuda) dan wang tunai RM743 dipercayai hasil jual beli dadah di dalam beg sandang suspek,"katanya.

Hasmerra berkata, pemeriksaan lanjut ke atas rumah sewa lelaki terbabit turut menemui satu ketulan mampat disyaki dadah ganja seberat 46.7 gram dibalut kertas aluminium dan dibungkus dengan pita pelekat yang disembunyikannya di dalam pasu bunga di ruang tamu.

Katanya, empat lagi suspek berusia 30 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Baru Chuping pada jam 10.50 pagi semalam.

"Mereka ditahan selepas pemeriksaan di rumah itu menemui satu bungkusan plastik besar dan tujuh bungkusan plastik kecil masing-masing berisi ketulan dan serbuk putih dadah heroin dengan anggaran berat keseluruhan 155.87 gram dan satu bungkusan plastik kecil berisi hablur kristal dipercayai syabu seberat 97.16 gram.

"Turut ditemui dua bungkusan plastik kecil berisi mampatan daun tumbuhan kering disyaki ganja seberat 6.42 gram setiap satu, satu bungkusan plastik cerah berisi 13 biji pil Yaba dan satu bungkusan kertas aluminium berisi eramin 5," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta sama dan semua suspek direman seminggu dari tarikh ditangkap.

"Nilai rampasan dadah, wang tunai dan buah kereta bernilai RM44,749 dan pihak polis percaya tiga kumpulan ini aktif membekalkan dadah kepada penagih di negeri ini," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:45 PM-

KLUANG: Seorang wanita berusia 32 tahun dikasari dan kepalanya dicukuri oleh suaminya yang kuat cemburu di Taman Kluang Setia di sini.

Gambar Hiasan
Suri rumah tersebut menghubungi bapanya yang berusia 63 tahun yang menetap di Petaling Jaya, Selangor dan memberitahu untuk pindah ke rumah lelaki itu pada pukul 10.30 malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mangsa hanya menangis ketika menghubungi bapanya dan di depan pemandu teksi tanpa menceritakan tentang apa yang berlaku.

"Keesokannya, bapa wanita itu menerima gambar daripada birasnya (bapa mertua mangsa) menerusi Whatsapp dan melihat apa yang terjadi," kata Mohamad.

Mohamad berkata, bapa mangsa mengesyaki anaknya dikasari oleh menantunya.
Suami mangsa kemudiannya ditahan dan pemerikasaan mendapati bahawa dia positif dadah jenis methamphetamines.

"Suspek mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain dan bertindak sendiri untuk menghukum wanita itu," kata Mohamad.


Video

[Video][video]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget