Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) percaya pemain profesional tempatan bersedia menerima norma baharu dalam saingan bola sepak di negara ini, termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selepas kerajaan memberi lampu hijau untuk menjalani latihan di padang terbuka dalam tempoh terdekat.
PFAM dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan terbaharu kerajaan merupakan tonik besar buat keseluruhan komuniti sukan bola sepak tanah air terutamanya bagi para pemain profesional.
“Sudah semestinya, sebagai rakyat Malaysia, kita masih berada dalam ‘kerisauan’ dan ‘ketakutan’ memandangkan kita masih belum memenangi ‘perang pandemik’ ini secara mutlak.
“Namun begitu, PFAM percaya usaha keras yang digerakdayakan oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dalam merangka SOP akan senantiasa memastikan kesemua pemegang taruh bola sepak, terutamanya para pemain dan pegawai pasukan, dalam keadaan yang selamat dan terhindar daripada segala ancaman jangkitan,” jelas PFAM.
Dalam pada itu, PFAM percaya jika kerajaan membenarkan saingan Liga Malaysia diteruskan pada September ini ia bakal mengurangkan kerugian komersial yang telah ditanggung pasukan terlibat sejak saingan liga ditangguhkan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini memaklumkan, pihak kementerian memberi lampu hijau kepada skuad kebangsaan, pasukan negeri atau kelab di bawah MFL, serta akademi bola sepak yang berdaftar untuk memulakan latihan secara tidak bersentuhan badan mengikut SOP Am Individu dan SOP Pengurusan yang ditetapkan. ― Bernama
Post a Comment