Articles by "Pemimpin"

PASIR MAS 28 Nov. - Mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan menikmati makanan segar sepanjang berada di situ.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, perkara tersebut merupakan salah satu bentuk penambahbaikkan yang dilakukan kerajaan dalam membantu mangsa banjir.


Menurutnya, kerajaan mahu mangsa banjir mendapat makanan segar serta berkhasiat bagi memastikan tahap kesihatan mereka terjamin.

"Kalau boleh kita mahu mangsa banjir makan sardin hanya sekali dalam sehari sahaja

"Selebihnya makanan segar seperti ayam, daging dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Lati di sini hari ini.

Seramai 78 keluarga telah ditempatkan di SMK Agama Lati membabitkan 178 mangsa.

Shahidan memberitahu, beliau mahu semua mangsa banjir diberikan layanan berstatus ‘diraja’.

Katanya, ini seleras dengan kehendak kerajaan yang mahu kebajikan dan keselesaan mereka yang terjejas dengan banjir dijaga sebaiknya. -UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memastikan bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan yang mula dinaiki air di Kelantan, sejak beberapa hari lepas.

Najib berkata, beliau kini sedang memantau keadaan di beberapa kawasan yang dinaiki air dan memerlukan penduduknya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).


"Saya harap semua berhati-hati dan beri kerjasama kepada pihak berkuasa. Kerajaan akan pastikan bantuan tiba kepada yang memerlukan," kata Najib menerusi catatan di laman Facebook beliau, malam ini.

Sehingga 9 malam ini, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 1,078 orang berbanding 834 orang pada 5 petang tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 23 buah PPS yang dibuka di tujuh jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Bachok.

Sementara itu, menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas telah melebihi paras bahaya dan semakin meningkat kepada 9.68 meter berbanding 9.52 meter pada 5 petang tadi. - BERNAMA

 

 

 

 



KUALA LUMPUR, 28 Nov: Pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun bagi kesalahan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan dihadapkan ke mahkamah mulai awal tahun depan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata tindakan tersebut juga diambil untuk semua saman yang dikeluarkan mulai 1 Mei tahun ini.

“Kementerian bercadang untuk memulakan pendakwaan kes AWAS mulai 2018. Justeru, kini kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membuat persiapan untuk mengarahkan pesalah lalu lintas AWAS untuk hadir ke mahkamah.

“Sekarang ini jumlah kompaun adalah sebanyak RM150 tetapi apabila di mahkamah, jumlah tersebut akan dinaikkan yang mana minimum jumlah denda adalah RM300,”katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengenai tarikh penerima saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Ab. Aziz berkata bagaimanapun, untuk saman AES yang dikeluarkan pada 2012 hingga April tahun ini, tindakan masih ditangguhkan dan setakat ini sebanyak 2.7 juta saman AES telah direkodkan.–Bernama

KUALA LUMPUR: Kos subsidi bagi keseluruhan operasi haji dijangka meningkat sehingga RM400 juta tahun depan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata ia berikutan peningkatan kos pentadbiran, perkhidmatan dan pertambahan kuota jemaah haji yang diluluskan kerajaan Arab Saudi bermula tahun ini.

"Tahun ini saja kos keseluruhan subsidi yang diperuntukkan kerajaan sebanyak RM300 juta dan dijangka meningkat sehingga RM400 juta tahun depan.

"Bagaimanapun bayaran bagi mengejarkan haji tahun depan masih kekal sebanyak RM9,980 seorang, di mana subsidi kerajaan sebanyak RM12,470 diberikan kepada setiap jemaah daripada kos sebenar RM22,450 yang sepatutnya dibayar juga dikekalkan sejak tahun 2009 lagi.

"Bermakna jumlah subsidi yang mula diperkenalkan kerajaan sejak 2001 hingga tahun ini sudah melebihi RM1 bilion," katanya pada Majlis Tamat Operasi Haji 1438H/2017 dan Penghargaan Sahabat Korporat Musim Haji 1438H/2017 di Menara Lembaga Tabung Haji (TH) di sini, hari ini.

Yang turut hadir sama, Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah dan Setiausaha Pertama Bahagian Visa, Kedutaan Arab Saudi Ke Malaysia, Ali Ibrahim A Alheji.

Sementara itu, pada majlis sama sebanyak 29 syarikat korporat yang terdiri daripada agensi, institusi korporat dan swasta serta persendirian diraikan bagi menghargai sumbangan yang diberikan dalam Program Sahabat Korporat TH Prihatin Kebajikan Jemaah Operasi Haji 1438H/2017.

Sebanyak RM5.3 juta sumbangan keseluruhan dalam pelbagai bentuk diterima TH dalam memberikan keselesaan dan kemudahan setiap jemaah negara ini dalam urusan menunaikan fardu haji tahun ini.

Program berkenaan mula diperkenalkan sejak tahun 80-an yang digelar Sumbangan Untuk Jemaah Haji. Bagaimanapun program itu diubah menjadi Sahabat Korporat TH sejak 2005 selepas ia dikaji semula dan dikemaskini bagi memperluaskan operasi dan pembabitan pihak luar.

Hasilnya TH berjaya menarik minat dan sokongan dari pelbagai badan dan organisasi korporat tempatan untuk menyalurkan sumbangan khusus kepada memberi keselesaan percuma kepada jemaah haji negara ini.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Raden mengejutkan Dewan Rakyat apabila mencadangkan kerajaan meniru pendekatan Filipina iaitu menembak pengedar dadah bagi menangani masalah dadah di negara ini.

"Masalah dadah ini, negara kita sudah menjadi seperti pusat pengeluaran dadah. Di Filipina apabila (Presiden Rodrigo) Duterte masuk, sekarang Filipina boleh dikatakan sebagai 'sifar dadah'.

"Kenapa kita tidak boleh ikut cara Filipina. Kalau dia penagih kita penjara sahaja tanpa dakwa di mahkamah, kalau pengedar, kita tembak dia," katanya ketika mencelah ucapan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) ketika membahaskan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Bung Mokhtar mendakwa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal berperanan menangani masalah dadah di negara ini.

"Saya lihat AADK gagal menjalankan amanahnya kerana makin tahun, makin hari, semakin banyak kes dadah. Saya cadang AADK ini bubarkan sahaja.

"Buang duit rakyat dan duit kerajaan. Kaunseling juga tidak berkesan. Rakyat menunggu hasilnya tetapi tidak ada hasil, mesyuarat juga tidak ada hasil," katanya.-Berita Harian

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov (Bernama) -- Isu-isu imigresen yang berkaitan laluan Lebuhraya Pan Borneo merentasi Brunei, dijangka dapat diselesaikan sebelum rundingan tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersempena rundingan tahunan pemimpin ke-21 Malaysia-Brunei, cadangan Malaysia untuk mewujudkan laluan baharu dari Bandar Seri Begawan ke Limbang di Malaysia, turut diterima baik oleh baginda Sultan.

Beliau berkata baginda juga mahu supaya proses memberi kelulusan imigresen yang melibatkan keperluan cop pada pasport sebanyak tujuh kali untuk laluan sehala merentasi Brunei ketika ini, dikurangkan kepada hanya sekali cop ketika masuk, dan sekali lagi semasa keluar.

Katanya Malaysia juga akan mencadangkan supaya dibangunkan satu sistem yang mudah diaplikasi di samping menjaga keperluan keselamatan, bertujuan memudahkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara, dan pada masa sama, mempunyai ciri-ciri keselamatan yang diperlukan.

"Perkara ini sudah lama dibincangkan, kedua-dua pihak bersetuju supaya ia mesti diselesaikan sebelum rundingan tahunan pemimpin akan datang," katanya dalam persidangan media selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah di sini petang ini.

Najib berkata Sultan Hassanal Bolkiah jelas menantikan usaha ke arah melancarkan pergerakan laluan Pan Borneo, kerana menurutnya, semasa baginda menyertai Regatta di Kuching Sarawak minggu lepas, anggota pasukan baginda yang menggunakan laluan darat terpaksa menempuh perjalanan sehingga 14 jam untuk sampai.

Perdana menteri berkata, beliau memaklumkan bahawa apabila siap Lebuhraya Pan Borneo, tempoh waktu perjalanan itu dijangka boleh dikurangkan sehingga separuh daripada tempoh waktu ketika ini.

"Itulah kesan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo itu nanti," katanya.

-- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada semua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mengambil keputusan hari ini.

“Untuk semua anak-anak yang ambil keputusan #UPSR hari ini, tahniah!

“Tak kira apa keputusan anda, jangan lupa ucap terima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru yang banyak membantu,” katanya dalam catatan di laman Twitter dan Facebook.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin semasa membentangkan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) buat pertama kalinya hari ini berkata seramai 8,958 calon UPSR atau 2.1 peratus daripada keseluruhan 443,794 calon mendapat semua A, meningkat berbanding 4,896 calon pada 2016.

Katanya pencapaian murid tahun enam pada 2017 secara keseluruhannya baik tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan

KUALA LUMPUR: Malaysia bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol mengesan 20 etnik Uighur Muslim, China yang melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di selatan Thailand, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat mengenai insiden itu daripada pihak Thailand.

Katanya, bagaimanapun, belum ada maklumat sama ada mereka memasuki negara ini atau sebaliknya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata PDRM sedang mengesan kumpulan etnik Uighur yang melarikan diri itu.

"Jika mereka ada di sini (Malaysia), kita akan tahan mereka. Kita akan kerjasama dengan Aseanapol dan Interpol.

"Kita ada mekanisme untuk kesan mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Keganasan Kali Ke-3 anjuran Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Indonesia's Financial Intelligence Unit (PPATK) dan Australia's Finacial Intelligence Unit (AUSTRAC) di Sasana Kijang, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Keadilan Australia, Michael Keenan; Menteri Koordinasi Politik, Perundangan dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia, Jeneral Wiranto dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Ahmad Zahid mengulas laporan Pihak Berkuasa Thailand yang sedang memburu 20 etnik Uighur dari China yang melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di Sadao, berhampiran selatan Malaysia-Thailand, ketika Beijing mendesak mereka dihantar pulang.

Kumpulan yang diburu itu antara ratusan etnik Uighur yang ditahan di Thailand pada 2014, walaupun mendakwa mereka rakyat Turki, dikhuatiri menyelinap masuk ke Malaysia untuk menyelamatkan diri.-Berita Harian

KUCHING: Datuk Seri Najib Razak yakin negara ini mampu muncul dalam kelompok 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050.

Perdana Menteri menjelaskan keyakinan itu bersandarkan prestasi kukuh ekonomi negara, selain disokong pelbagai inisiatif pembangunan diperkenalkan kerajaan, termasuk Dasar Digital Malaysia (MDP).

"MDP adalah suatu kerangka rumusan yang menjadi asas utama pembangunan ekonomi digital negara dalam merealisasikan hasrat kita untuk muncul antara 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050.

"Malah, dasar baharu itu juga mampu menyumbang peningkatan sekurang-kurangnya 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF13) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam.

Bertemakan 'Perubahan Gangguan: Kesan dan Cabaran', forum berkenaan yang memasuki edisi ke-13 penganjurannya selepas diasaskan penubuhannya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, memfokuskan sentimen semasa dalam kalangan negara sedang membangun untuk mendepani Revolusi Industri 4.0.

Ini termasuk pembangunan ekonomi digital yang lebih berinovasi, sekali gus mewujudkan suatu konsep jaringan perdagangan rentas sempadan di peringkat global.

Najib yang juga Penaung WIEF, berkata kepentingan pembangunan ekonomi digital itu turut menyaksikan Malaysia antara negara terawal mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital, selain China.

"Ia seiring dengan kedudukan Malaysia yang kini muncul antara pasaran e-perdagangan di peringkat global membabitkan janaan pendapatan mencecah RM9.53 bilion tahun lalu.

"Namun, misi utama kita melalui penubuhan zon perdagangan itu adalah melakukan transformasi ekonomi berskala besar, khususnya menjadikan Malaysia sebagai hab e-perdagangan serantau," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Malaysia mendapat tempat pertama dalam Petunjuk Ekonomi Global Islam daripada 73 negara seluruh dunia.

Katanya, Malaysia juga jauh mengatasi negara di tempat kedua iaitu Emiriyah Arab Bersatu apabila mendapat markah 50 peratus lebih tinggi.

Petunjuk itu adalah sebahagian daripada laporan Keadaan Ekonomi Islamik Global 2016/2017 yang dikeluarkan oleh Thomson Reuters.

"Dalam laporan itu menyebut ekonomi Islamik, yang merangkumi makanan halal, kewangan Islamik, pelancongan halal, fesyen sederhana, rekreasi dan media halal, farmaseutikal dan kosmetik halal, diunjurkan mencecah RM12.4 trillion menjelang 2021.

"Laporan itu juga menyebut yang saiz pasaran aset kewangan Islam diunjurkan bernilai RM14.5 trilion pada tahun yang sama.

"Tambahan, dalam tempoh menjelang tahun 2021, dijangkakan pertumbuhan dalam negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan meningkat lebih darioada sekali ganda berbanding ekonomi negara maju," katanya.

KUALA LUMPUR, 21 Nov: Keputusan undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (RUU) 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam menunjukkan sistem demokrasi terus subur di Dewan Rakyat dan ia tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata semua anggota Parlimen perlu menghormati keputusan ini kerana proses yang dijalankan mengikut prosedur yang dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Cubaan pembangkang untuk menggagalkan RUU itu melalui undi belah bahagian nyata tidak berjaya apabila anggaran perbelanjaan untuk kementerian tersebut telah diluluskan dengan majoriti mudah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat semalam kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian.

Kekecohan itu tercetus apabila G. Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya,

Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan tersebut dan cadangan itu kemudian diterima oleh Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

RUU Perbekalan untuk kementerian itu berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.–Bernama

KUCHING, 21 Nov: Malaysia menyeru negara Islam agar terus memberi komitmen dalam menangani keganasan, ekstremismes dan memerangi Daesh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepada kematian dan kemusnahan yang masih berterusan di Iraq dan Syria, serangan Daesh di Marawi, Filipina dan tragedi kemanusiaan di negeri Rakhine, Myanmar.

“Penderitaan dan kekejaman yang berlaku tidak boleh dibiarkan berleluasa.

“Sebagai umat Islam, kita digesa supaya memerangi ketidakadilan dan kejahatan, dan ini adalah tugas suci yang dipertanggungjawabkan kepada kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF), di sini hari ini.

Najib yang juga Penaung Yayasan WIEF, berkata negara Islam yang merentasi masyarakat antarabangsa dan Dunia Islam, mempunyai peranan dalam menangani cabaran itu.

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang memperlekehkan permohonan Malaysia untuk semakan keputusan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata tuduhan Hsein Loong bahawa kononnya niat sebenar Malaysia membuat tuntutan itu kerana pilihan raya umum adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab, yang boleh merosakkan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura.

"Sebagai negara yang berdaulat, Malaysia sudah memfailkan permohonan itu pada 2 Februari lalu berdasarkan penemuan fakta baharu melalui tiga dokumen di dalam Arkib Negara United Kingdom pada 4 Ogos 2006.

"Keputusan membuat permohonan tuntutan selepas enam bulan penemuan fakta baharu itu adalah hak yang diberikan dan dipatuhi oleh Malaysia.

"Permohonan itu dan permohonan kedua pada 30 Jun lalu untuk pentafsiran penghakiman bukan dibuat secara sambil lewa tanpa asas yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, ketika berucap pada Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP), Hsein Loong berkata, dengan tuntutan semula Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh mungkin ada kaitan dengan pilihan raya umumnya.

"Saya tidak pasti apa motif Malaysia, tetapi Pilihan Raya Umum mereka akan datang, yang mungkin ada kaitan dengannya," katanya.

Khairy berkata, untuk makluman Hsein Loong, semasa penemuan fakta baharu pada Ogos 2016, pilihan raya Malaysia masih belum diumumkan.

"Pemfailan pada 2 Februari pula dibuat bagi memberi masa penyediaan dokumen dalam tempoh enam bulan yang diberikan.

"Sebagai peringatan, Parlimen Malaysia masih belum dibubarkan hingga hari ini, lebih setahun dari tarikh penemuan fakta baharu itu," katanya.

Khairy berkata, memang mudah meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan kepada negara lain seperti mana yang dibuat oleh Hsein Loong dalam kenyataan beliau pada konvensyen parti PAP.

"Malaysia memandang serius isu kedaulatan sepanjang masa dan bukan semata-mata meraih sokongan semasa pilihan raya atau konvensyen politik saja," katanya.


KUALA LUMPUR – Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa melawat Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meluangkan masa melawat Anwar.

Ahmad Zahid ditemani isterinya Datin Seri Hamidah Khamis di Hospital Kuala Lumpur.

Turut hadir, dua anak Anwar, iaitu Nurul Nuha dan Nurul Hana.

“Menziarahi Datuk Seri Anwar yang selesai menjalani pembedahan bahu kanan di HKL,” tulis Zahid.

Semalam, Najib ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor melawat Anwar selepas beliau menjalani pembedahan beberapa hari lalu.

Menerusi laman sosial Facebooknya, perdana menteri memuatnaik gambar beliau dan isteri bersama Anwar dan Datin Seri Wan Azizah Ismail yang juga Ketua Pembangkang.

“Saya melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

“Beliau baru selesai menjalani pembedahan beberapa hari yang lalu. Semoga beliau cepat pulih,” kata Najib.

Anwar dilaporkan dimasukkan ke HKL bagi menjalani pembedahan bahu berikutan kecederaan yang dialaminya semasa kemalangan pada September lalu. -MalaysiaGazette.

SEPANGGAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan dana sebanyak RM40 juta bagi merancakkan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) sepanjang tahun depan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa pihak kerajaan komited dalam membantu para graduan memenuhi peluang pekerjaan di negara.


Menurut Abdul Rahman, dana itu diyakini mampu menambahbaik pelbagai program SL1M pada tahun depan.

"Perdana Menteri kagum dengan program SL1M sehingga beliau mengumumkan dana ini supaya pada tahun depan lebih banyak aktiviti dijalankan dalam program ini.

"SL1M adalah satu pendekatan yang berbeza untuk membantu para graduan.Tiada yang lebih penting daripada pihak kerajaan bagi memastikan pendapatan isi rumah dipertingkatkan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Hari Terbuka SL1M di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu di sini.

Hadir sama, Ketua Sekreteriat SL1M, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Norashikin Datuk Ismail dan Pengarah ILP Kota Kinabalu, Mustal Makmud.

Lokasi terakhir Hari Terbuka SL1M itu berjaya menarik 10,000 graduan untuk mengisi lebih 2,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan daripada 32 buah syarikat.

Hari Terbuka SL1M tersebut kali kedua dianjurkan di Sabah berikutan sambutan yang amat menggalakkan. - K! ONLINE

PENAMPANG: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau meluluskan peruntukan yang banyak untuk pembangunan Sabah dan Sarawak melalui Bajet 2018 demi memperbetulkan apa yang tidak dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kedua-dua negeri itu selama 22 tahun berkuasa.

Perdana Menteri berkata, jurang pembangunan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung perlu dihapuskan, namun mengakui ia mengambil sedikit masa kerana Tun Dr Mahathir sebelum ini tidak berbuat demikian sehingga menyebabkan wujud perbezaan ketara dalam soal berkenaan.

Beliau juga membidas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang baru-baru ini membuat kenyataan untuk membantu Sabah dan Sarawak, termasuk kesediaan mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Orang itu 22 tahun berkuasa tak buat (memajukan Sabah dan Sarawak), hari ini tersipu-sipu kata nak bantu... kalau nak buat, buatlah ketika ada kuasa, jangan dah tak ada kuasa baru nak buat, orang Sabah pun boleh fikir," katanya ketika merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-32 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Dalam ucapan penuh bersemangat di depan kira-kira 5,000 penyokong Barisan Nasional (BN) termasuk 1,400 perwakilan PBS, Najib yang juga Pengerusi BN, berkata kerajaan di bawah pimpinannya tidak pernah berniat mengambil hak Sabah melalui MA63 dan akan memulangkannya semula jika ada pihak terdahulu telah 'terambil' hak berkenaan.

"Sebab itu saya buat (bersetuju menubuhkan) RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Asing dan Keselamatan di Sabah), malah Tan Sri Musa beritahu sudah setengah juta pendatang asing tanpa izin (PATI) kita hantar balik.

"Syor Tan Sri Pairin (di bawah Jawatankuasa Teknikal RCI) boleh dibawa kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Musa untuk kita ambil tindakan susulan, begitu juga MA63, saya tak berniat ambil hak rakyat Sabah, kalau 'terambil' dulu, kita kena pulang balik.

"Ini perjuangan kita bersama, bukan PBS saja (mengkaji MA63). Saya berkongsi sentimen itu dan jangan bimbang kerana kalau nak sebut MA63, saya tidak memasukkan sesiapa di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), ISA pun sudah tiada sekarang," katanya.

Najib berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk mengkaji tafsiran berkaitan MA63 sebelum mengambil sebarang tindakan susulan demi kepentingan Sabah dan Sarawak.

"Kita akan mengadakan mesyuarat antara kerajaan Persekutuan dan negeri, kalau ada kata sepakat nanti saya akan umumkan. (Kajian) MA63 ini memerlukan masa sebab ada tafsiran dari segi undang-undang yang perlu kata sepakat (bersama pemimpin Sabah dan Sarawak)," katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat Sabah tidak perlu meragui kesungguhan BN memajukan negeri ini dengan menoleh kepada pembangkang, sebaliknya terus menyokong kerajaan sedia ada kerana semuanya sudah disediakan melalui pelbagai peruntukan besar seperti Lebuhraya Pan Borneo, kemudahan infrastruktur asas dan pembaikan sekolah daif.

"Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM500 juta melalui program Dana Mudahcara kepada kerajaan Sabah bagi pembangunan projek eco-tourism di Tanjung Aru di Kota Kinabalu yang akan menjadi tarikan tambahan kepada sektor pelancongan Sabah," katanya.

Mengenai PRU-14, beliau meminta ahli parti komponen dan penyokong BN agar tidak bertanya kepada beliau bila ia akan diadakan, sebaliknya masing-masing perlu tanya diri sendiri sama ada sudah bersedia memastikan BN terus mendapat mandat rakyat.-Berita Harian

PENAMPANG: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak jujur dalam kenyataannya untuk mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata ketika era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, Perjanjian Malaysia adalah sesuatu yang dianggap sensitif dan anti-Persekutuan.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata ramai rakyat Sabah ketika itu takut untuk membincangkan isu MA63 secara terbuka kerana mereka boleh ditahan dan diambil tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, ketika era Dr Mahathir, Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili antara yang turut menjadi mangsa ISA.

"Pada masa itu tiada tempat dan peluang untuk membincangkan isu berkenaan secara terbuka. Sebarang perbincangan mengenai MA63 dan dokumen lain yang berkaitan dengan penubuhan Malaysia dianggap terlarang.

"Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Dr Mahathir tidak pernah mengambil sebarang tindakan mengenai MA63 sepanjang 22 tahun pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Kenapa pula tiba-tiba berjanji akan mengkaji isu itu pada masa ini? Kenapa tidak mengambil tindakan ketika berkuasa dan ini bukti agenda beliau adalah membantu Pakatan Harapan memancing undi.

"Saya tidak percaya beliau jujur dalam perkara ini, beliau konsisten bersikap tidak konsisten," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan dan dasar sempena Kongres PBS Ke-32 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, hari ini.

September lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dilaporkan berkata, pakatan pembangkang akan mengkaji semula MA63 jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pairin berkata, PBS bersyukur dan berterima kasih kepada Najib kerana bukan saja menghapuskan ISA, malah mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat Sabah jika ada mana-mana peruntukan dalam MA63 disalah tafsir.

"Kami di PBS yakin Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang niat untuk mengabai atau tidak mengendahkan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia. Beliau mengumpamakan kita sebagai satu keluarga yang sentiasa ada perselisihan adik beradik, termasuk suami isteri.

"Ini menunjukkan kejujuran dan keprihatinan Perdana Menteri kita untuk menangani isu ini secara aman melalui perundingan," katanya.

Beliau berkata, PBS konsisten memperjuangkan hak rakyat dalam konteks Persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam MA63 dari dulu sehingga kini dan ia juga terkandung dalam perlembagaan parti itu sejak ditubuhkan 32 tahun lalu.

Katanya, dalam memorandum PBS kepada Jawatankuasa Negeri Sabah mengenai hak Sabah dan memo kepada Perdana Menteri, parti itu memberi fokus kepada tiga isu utama iaitu Borneonisasi, Penurunan Kuasa dan memasukkan sejarah pembentukan Malaysia ke silibus sekolah dalam sistem pendidikan negara.-Berita Harian

PUTRAJAYA: Kesederhanaan tidak bermakna berlembut atau memilih pendekatan yang ringan sebaliknya ia adalah sesuatu yang perlu diusahakan supaya menjadi sebahagian daripada kehidupan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menekankan pendekatan itu juga harus menjadi asas utama pemikiran dan tindakan seseorang terhadap terhadap orang lain, yang hanya boleh dicapai dengan mengamalkan kesederhanaan merangkumi kesanggupan menerima, saling menghormati dan persefahaman antara satu sama lain.

"Inilah sebabnya saya memperjuangkan kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai jalan terbaik kerana kesederhanaan menandakan kesempurnaan manusia yakni satu pengajaran yang bukan sahaja terkandung dalam ajaran Islam, tetapi juga dalam agama lain.

"Wasatiyyah membawa mesej supaya kita melakukan kebaikan dengan ketekunan, keadilan, semangat persaudaraan dan kealiman dengan menolak sama sekali sebarang bentuk kejahatan serta ekstremisme.

"Ini akan membolehkan kita melihat agama sebagai sesuatu yang menyatupadukan dan bukannya memecah-belahkan kita. Kegembiraan kita apabila berkongsi kemeriahan rakan senegara berlainan agama meraikan hari kebesaran mereka adalah satu penterjemahan ke jalan menuju kesederhanaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran penerbitan terbaru dan laman sesawang baru Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) di Perdana Putra di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GMMF, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

Dua buku dilancarkan pada majlis berkenaan iaitu 'The Movement Of Moderates: The Revitalisation of An Acient Philisophy', mengandungi koleksi ucapan Najib sejak ucaptama beliau mengenai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNGA) Ke 65 pada 2010.

Buku kedua, 'The Movement of Moderates: Building Bridges Breaking Barriers', mengandungi ucapan terpilih dan kertas kerja yang pernah dibentangkan Nasharudin.

Perdana Menteri berkata, tragedi di Marawi, Filipina tidak lama dulu akibat keganasan kumpulan bersekongkol dengan kumpulan pengganas Daesh, yang bertanggungjawab mengakibatkan kemusnahan di Syria dan Iraq selain serangan pengganas di serata dunia, wajar memberi kesedaran betapa pentingnya kesederhanaan.

"Malah, Malaysia sendiri tidak terkecuali terkena tempias keganasan Daesh tetapi usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan 16 cubaan serangan di sini termasuk ketika majlis penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

"Pada peringkat antarabangsa, kita bangga kerana berdiri bersama pelbagai negara lain dalam Gabungan Global Menentang Daesh termasuk menerusi Sidang Kemuncak Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Sidang Kemuncak Asean- Eropah dan Sidang Kemuncak Asia Timur selain UNGA.

"Tindakan kerajaan menggubal pelbagai undang-undang anti keganasan sejak beberapa tahun lalu membolehkan kita membanteras keganasan, tidak seperti beberapa negara yang buntu menghadapi ancaman pengganas kerana tidak mempunyai undang-undang yang sesuai bagi mengekang ancaman ini," katanya.

Najib menjelaskan, pelbagai perkembangan sudah berlaku sejak beliau mengesyorkan penubuhan GMM ketika berucap di UNGA tujuh tahun lalu dan peranan yang dimainkan GMMF adalah punca kenapa kepimpinan Malaysia dalam memupuk kesederhanaan, deradikalisasi dan menentang keganasan diiktiraf pada peringkat global.

Katanya, kerjasama erat GMMF dan Kementerian Luar turut meningkatkan keberkesanan kempen kesedaran betapa pentingnya kesederhanaan pada peringkat sejagat, yang akan menyaksikan Malaysia membentangkan resolusi mengenai kesederhanaan pada UNGA Ke-72 tahun ini.

PUTRAJAYA 17 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan laman web baharu Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) dan dua buku berjudul 'The Movement of the Moderates: The Revitalisation of an Ancient Philosophy' dan 'The Movement of Moderates: Building Bridges, Breaking Barriers' di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Perdana Menteri ketika berucap berkata, kerja-kerja yang dilakukan GMMF merupakan sebahagian daripada sebab kepimpinan Malaysia diiktiraf serata dunia dalam usaha mempromosikan kesederhanaan, deradikalisasi dan melawan ekstremisme.

Katanya, kesederhanaan bukan sahaja sebahagian daripada tradisi tetapi juga keperluan bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kepercayaan dan etnik.

"Di Malaysia, kita memahami dan menghargai perbezaan antara kita dan perkara itu terus dipertingkatkan. Ternyata, ini menjadikan Malaysia yang wujud kini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GMMF, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa. - UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA, 17 Nov (Bernama) -- Malaysia mencatat pertumbuhan 6.2 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini, dengan pencapaian itu membuktikan pengurusan ekonomi negara berada di landasan yang betul, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pencapaian itu menjadikan Malaysia antara negara yang merekodkan pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di dunia pada tahun ini.

Beliau berkata pencapaian itu selaras dengan tuntutan Islam iaitu dengan sentiasa meletakkan sasaran terbaik dan tertinggi di dalam semua urusan yang dilaksanakan.

"Sebagai umat Islam, kita kena tetapkan tahap kecemerlangan yang perlu dicapai sekali gus menjadikan apa yang kita buat ada sasaran seperti terbaik, tertinggi, yang kedua-duanya membawa makna cemerlang," katanya ketika berucap merasmikan Surau Mahmoodiah, Presint 18 di sini, hari ini.

Najib, yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, turut menyertai penduduk setempat menunaikan solat Jumaat di surau baharu itu, yang boleh memuatkan 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

Perdana Menteri berkata walaupun mengamalkan prinsip wasatiyyah iaitu kesederhanaan namun dalam hal pentadbiran negara, ia mesti meletakkan kecemerlangan sebagai penanda aras.

Beliau berkata selain ekonomi, pentadbiran agama juga berada di tahap cemerlang dan bertaraf dunia seperti pengurusan Tabung Haji, khususnya dalam hal mengendalikan jemaah haji.

"Ini semua berkat kita berpegang kepada Maqasid Syariah yang sentiasa meletakkan kepentingan pada yang hak," katanya.

Mengenai surau tersebut, Najib berkata beliau begitu kagum dengan keindahan reka ciptanya malah menyifatkan ia sebagai antara surau paling selesa dan indah pernah dikunjunginya.

Mula dibina pada April 2015 dengan kos sebanyak RM4 juta sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), surau itu digunakan untuk solat Jumaat buat kali pertamanya pada 26 Mei lepas.

Terletak bersebelahan Sekolah Rendah Agama Mahmoodiah, surau itu dilengkapi dewan solat utama, pejabat pentadbiran, bilik pengurusan jenazah, dewan serbaguna, kuarter imam dan bilal serta tempat wudhu lelaki dan perempuan.

-- BERNAMA

Video

[Video][video]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget