Pendekatan Sederhana Tidak Bererti Kena Berlembut

PUTRAJAYA: Kesederhanaan tidak bermakna berlembut atau memilih pendekatan yang ringan sebaliknya ia adalah sesuatu yang perlu diusahakan supaya menjadi sebahagian daripada kehidupan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menekankan pendekatan itu juga harus menjadi asas utama pemikiran dan tindakan seseorang terhadap terhadap orang lain, yang hanya boleh dicapai dengan mengamalkan kesederhanaan merangkumi kesanggupan menerima, saling menghormati dan persefahaman antara satu sama lain.

"Inilah sebabnya saya memperjuangkan kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai jalan terbaik kerana kesederhanaan menandakan kesempurnaan manusia yakni satu pengajaran yang bukan sahaja terkandung dalam ajaran Islam, tetapi juga dalam agama lain.

"Wasatiyyah membawa mesej supaya kita melakukan kebaikan dengan ketekunan, keadilan, semangat persaudaraan dan kealiman dengan menolak sama sekali sebarang bentuk kejahatan serta ekstremisme.

"Ini akan membolehkan kita melihat agama sebagai sesuatu yang menyatupadukan dan bukannya memecah-belahkan kita. Kegembiraan kita apabila berkongsi kemeriahan rakan senegara berlainan agama meraikan hari kebesaran mereka adalah satu penterjemahan ke jalan menuju kesederhanaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran penerbitan terbaru dan laman sesawang baru Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) di Perdana Putra di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GMMF, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

Dua buku dilancarkan pada majlis berkenaan iaitu 'The Movement Of Moderates: The Revitalisation of An Acient Philisophy', mengandungi koleksi ucapan Najib sejak ucaptama beliau mengenai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNGA) Ke 65 pada 2010.

Buku kedua, 'The Movement of Moderates: Building Bridges Breaking Barriers', mengandungi ucapan terpilih dan kertas kerja yang pernah dibentangkan Nasharudin.

Perdana Menteri berkata, tragedi di Marawi, Filipina tidak lama dulu akibat keganasan kumpulan bersekongkol dengan kumpulan pengganas Daesh, yang bertanggungjawab mengakibatkan kemusnahan di Syria dan Iraq selain serangan pengganas di serata dunia, wajar memberi kesedaran betapa pentingnya kesederhanaan.

"Malah, Malaysia sendiri tidak terkecuali terkena tempias keganasan Daesh tetapi usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan 16 cubaan serangan di sini termasuk ketika majlis penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

"Pada peringkat antarabangsa, kita bangga kerana berdiri bersama pelbagai negara lain dalam Gabungan Global Menentang Daesh termasuk menerusi Sidang Kemuncak Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Sidang Kemuncak Asean- Eropah dan Sidang Kemuncak Asia Timur selain UNGA.

"Tindakan kerajaan menggubal pelbagai undang-undang anti keganasan sejak beberapa tahun lalu membolehkan kita membanteras keganasan, tidak seperti beberapa negara yang buntu menghadapi ancaman pengganas kerana tidak mempunyai undang-undang yang sesuai bagi mengekang ancaman ini," katanya.

Najib menjelaskan, pelbagai perkembangan sudah berlaku sejak beliau mengesyorkan penubuhan GMM ketika berucap di UNGA tujuh tahun lalu dan peranan yang dimainkan GMMF adalah punca kenapa kepimpinan Malaysia dalam memupuk kesederhanaan, deradikalisasi dan menentang keganasan diiktiraf pada peringkat global.

Katanya, kerjasama erat GMMF dan Kementerian Luar turut meningkatkan keberkesanan kempen kesedaran betapa pentingnya kesederhanaan pada peringkat sejagat, yang akan menyaksikan Malaysia membentangkan resolusi mengenai kesederhanaan pada UNGA Ke-72 tahun ini.

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget