JOHOR BAHRU 16 Nov. – Kerajaan negeri akan memastikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) terus diberi perhatian dalam setiap dasar yang dirangka kerana sumbangannya terhadap pembangunan negeri serta negara adalah besar dan tidak boleh dinafikan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perhatian tersebut termasuk menyalurkan peruntukan kepada sekolah-sekolah aliran berkenaan.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, pihaknya sedang berusaha memastikan supaya sekolah-sekolah itu hanya membayar cukai tanah nominal jika terletak di atas tanah yang statusnya ditakrifkan khusus untuk pendidikan.
“Kita juga sedang uruskan tunggakan-tunggakan mereka (cukai tanah). Ada sebahagiannya, kita sudah kecualikan apabila mereka tukar tanah (status tanah sedia ada) menjadi tanah institusi pendidikan.
“Kalau tanah itu komersial dan ada sekolah, itu bermakna sekolah berkenaan adalah komersial dan buat untung dan ini tidak boleh,” katanya selepas merasmikan program Prihatin Masyarakat Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) di SJKC Johor Jaya, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong merangkap Pengerusi MCA negeri; Ahli Parlimen Tebrau, Khoo Soo Seang; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong yang juga Pengerusi YSF dan Pengerusi MCA Bahagian Pasir Gudang, Datuk Tan Cher Puk.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri melakukan semua itu kerana tidak sangsi dengan sumbangan dan peranan SJKC dalam memberi ilmu pengetahuan bukan hanya kepada masyarakat Tiong Hua, malahan kaum lain.
“Sekalipun hanya ramai orang Tiong Hua belajar, sekolah ini juga memainkan peranan untuk memberi ilmu pengetahuan kepada rakyat. Hanya mungkin mereka (sekolah) perlu memastikan bahawa kita ini akan terus dapat bermuafakat dengan menekankan soal komunikasi, khususnya Bahasa Malaysia.
“Adalah penting bagi rakyat boleh berkomunikasi antara satu sama lain kerana satu daripada ciri individu dalam dunia abad ke-21 ialah mesti cilik budaya, mampu menerima kepelbagaian dan kita harap ini dapat dijayakan,” katanya sambil memuji usaha YSF yang menyediakan barangan keperluan sekolah kepada 4,500 murid di 166 buah SJKC seluruh negeri di bawah program Prihatin Masyarakat berkenaan.
Kerajaan negeri turut menyalurkan sebanyak RM2 juta kepada yayasan itu pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat Tiong Hua.
“Ini pendekatan yang diambil kerajaan negeri dalam menjayakan pembangunan Johor yang inklusif, masyarakat Johor yang prihatin serta membawa muafakat kepada pelbagai kaum.
“Yayasan adalah instrumen yang kita pakai kerana percaya berasaskan kemampuan dan kefahaman dimiliki, mereka tahu keperluan masyarakat tertentu,” katanya.-UTUSAN ONLINE
Post a Comment