Articles by "Antarabangsa"

MAE SAI, Thailand: Mangsa ke-11 berjaya dibawa keluar dari gua di Thailand, sebentar tadi, kata sumber tentera laut dan pegawai wilayah dalam usaha dramatik untuk menyelamat 12 remaja pasukan bola sepak dan jurulatih mereka yang dijangka berakhir hari ini.

"Individu ke-11 berjaya dibawa keluar," kata sumber tentera laut kepada AFP, yang enggan dikenali tetapi tidak mengesahkan sama ada yang diselamatkan itu remaja atau juru latih berusia 25 tahun.

Pegawai wilayah Chiang Rai berkata, mangsa ke-11 itu terus dibawa ke hospital lapangan. - AFP

SINGAPURA: Tabiat merokok bakal menjadi lebih sukar di Singapura, dengan kerajaan bercadang memasang 300 kamera pengesan haba definisi tinggi untuk menangkap dan mendenda perokok.

Republik itu sudah pun melaksanakan undang-undang antitembakau paling ketat di dunia dan merokok dilarang di kebanyakan tempat awam, dengan perokok didenda sehingga Sg$1,000 (RM2,974) jika ditangkap.

Rokok elektronik juga dilarang.

Pihak berkuasa kini bercadang memasang kamera pengesan haba canggih yang dapat mengesan apabila seseorang memegang rokok menyala di kawasan larangan merokok, menurut laporan Straits Times semalam.

Akhbar itu melaporkan, kamera berkenaan akan dipasang sekitar kawasan penempatan dan tempat awam lain seluruh Singapura dan juga mampu menangkap 'tindakan pengotor' terlarang lain seperti meludah dan membuang sampah.

Singapura mula memperkenalkan undang-undang antitembakau pada 1970-an sebagai sebahagian usaha kerajaan mengurangkan kadar merokok.

Sejak itu, ia meningkatkan bilangan tempat awam yang dijadikan kawasan larangan merokok, termasuk kampus universiti dan di kawasan biasa sekitar blok pangsapuri.

Merokok dalam kereta persendirian dibolehkan, tetapi tidak boleh menurunkan cermin kereta ketika berbuat demikian.

Singapura dijadikan bahan jenaka dengan digambarkan di atas baju T sebagai 'bandar raya amat baik' kerana bilangan dan saiz hukuman bagi kesalahan pelik, seperti menaikkan kemarahan orang awam dengan peralatan muzikal dan gagal mengepam tandas awam. - AFP

CHIANG RAI (Thailand): Semua 12 remaja pasukan bola sepak dan seorang juru latih yang berjaya diselamatkan dari sebuah gua di Thailand selepas lebih dua minggu terperangkap, tidak dibenarkan menerima tawaran menonton perlawanan akhir Piala Dunia di Moscow, kata seorang doktor, semalam.

Gambar pasukan remaja itu menjadi tular menyebabkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menjemput mereka pada 15 Julai ini sebagai tanda solidariti dari dunia bola sepak yang sudah pastinya menjadi impian kebanyakan peminat remaja bola sepak.

Bagaimanapun, idea itu mendapat bantahan doktor kerana semua remaja terbabit berada dalam keadaan baik tetapi proses pemulihan agak perlahan dan mereka perlu berehat di hospital selama seminggu.

"Mereka tidak boleh pergi, mereka perlu berehat di hospital," kata jurucakap kementerian kesihatan awam, Thongchai Lertwilairatanapong kepada wartawan hari ini apabila ditanya berhubung tawaran untuk menyaksikan perlawanan itu Ahad ini.

"Mereka hanya akan menonton menerusi televisyen," kata setiausaha tetap Kementerian Kesihatan Awam, Jedsada Chokdamrungsuk.

Usaha menyelamatkan semua remaja dan jurulatih berakhir, hari ini selepas lima lagi mangsa berjaya diselamatkan ketika misi menyelamat memasuki fasa terakhir.

Setakat ini tidak ada masalah kesihatan serius yang dikesan tetapi ibu bapa hanya dibenarkan melawat empat remaja pertama yang berjaya diselamatkan dengan memakai pakaian khas, selepas tempoh 48 jam.

Nasib yang menimpa semua remaja itu mendapat perhatian dan sokongan daripada seluruh bintang bola sepak dunia, bermula dari legenda bola sepak Brazil, Ronaldo; John Stones England dan Lionel Messi, Argentina.

Pasukan bola sepak 'Boars Wild' berjaya dikesan selepas sembilan hari terputus hubungan dan mereka ditemui di tebing berlumpur dikelilingi air, beberapa kilometer di dalam Gua Tham Luang di utara Thailand.

Semua mereka baru selesai menjalani latihan bola sepak ketika mula memasuki gua itu pada 23 Jun lalu dan ketika ditemui semuanya memakai jersi bola sepak. - AFP

MAE SAI, Thailand: Semua 12 remaja pasukan bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam sebuah gua di Thailand lebih dua minggu lalu berjaya diselamatkan, kata unit SEAL tentera laut Thailand, menamatkan misi menyelamat luar biasa yang menarik perhatian dunia.

Penyelam unit SEAL dan elit luar negara membawa keluar kumpulan terakhir empat remaja termasuk juru latih mereka, petang tadi menerusi laluan berbahaya yang memaksa mereka mengecilkan tubuh untuk melepasi laluan sempit dan dipenuhi air.

"Semua 12 remaja pasukan 'Wild Boars' dan juru latih mereka berjaya dibawa keluar daripada gua dan mereka selamat," kata unit SEAL menerusi laman Facebook.

Unit itu turut menambah perkataan 'Hooyah' sebagai meraikan kejayaan menyelamatkan semua remaja terbabit dalam tempoh dua hari.

Semua 12 remaja berumur antara 11 hingga 16 tahun bersama juru latih mereka, meneroka ke dalam Gua Tham Luang di kawasan pergunungan di utara Thailand pada 23 Jun lalu selepas menjalani latihan bola sepak.

Mereka berada di dalam gua selepas hujan lebat hingga menyebabkan paras air naik dan menyebabkan mereka terperangkap di tebing berlumpur yang dikelilingi air.

Mereka terperangkap di dalam gua yang gelap selama sembilan hari sebelum dijumpai dua penyelam Britain, dalam keadaan takut tetapi mampu tersenyum kepada dua penyelam itu untuk membuktikan semangat mereka kuat.

Bagaimanapun, kegembiraan awal susulan penemuan mereka seakan pudar apabila pihak berkuasa berusaha mencari jalan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap kira-kira empat kilometer jauh ke dalam gua dan terowong yang menjadi laluan ke arah mereka dipenuhi dengan air.

Pihak berkuasa pernah buntu seketika mencari jalan untuk menyelamatkan mereka hingga terpaksa memilih menggerudi lubang di kawasan gunung atau terpaksa menunggu musim monsun berakhir supaya mereka boleh berjalan keluar.

Keadaan itu menyebabkan ketua penyelamat pada satu ketika mengatakan usaha untuk menyelamat mereka adalah 'misi mustahil'. - AFP

Video

[Video][video]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget