Articles by "Kemalangan"

KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang terjejas dijangka pulih dalam tempoh tiga hari.

Perkhidmatan tren di beberapa destinasi sekitar Lembah Klang terjejas susulan gerabak tren kargo tergelincir di Stesen Bank Negara di sini, awal pagi tadi.

KTMB dalam satu kenyataan, berkata kerja baik pulih di laluan berkenaan sedang giat dijalankan sebelum perkhidmatan tren dapat kembali beroperasi seperti biasa.

Katanya, kejadian jam 2.58 pagi membabitkan 12 gerabak tren kargo tergelincir di Kilometer (KM) 386, antara laluan Stesen Bank Negara - Stesen Kuala Lumpur.

"Bagi perkhidmatan KTM Komuter, tren hanya akan beroperasi antara laluan Stesen Tanjung Malim-Stesen Kepong dan Stesen KL Sentral-Stesen Pelabuhan Klang.

"Tiada perkhidmatan tren komuter di antara laluan Stesen Kepong ke Stesen KL Sentral, tetapi ada perkhidmatan bas disediakan antara laluan Stesen Segambut - Stesen KL Sentral.

"Penumpang bagi laluan Stesen Tanjung Malim - Stesen KL Sentral atau stesen sektor Selatan dan sebaliknya, digalak menggunakan perkhidmatan awam alternatif lain seperti tren MRT dari Stesen Sungai Buloh," katanya.

Bagi laluan Batu Caves - Seremban - Tampin/ Pulau Sebang, perkhidmatan komuter hanya beroperasi di antara laluan Stesen Batu Caves - Stesen Sentul dan Stesen KL Sentral - Stesen Seremban - Stesen Tampin/ Pulau Sebang dengan bas disediakan antara laluan Stesen Sentul - Stesen KL Sentral.

Bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) pula, tren ETS dari sektor Utara akan beroperasi hingga Stesen Sungai Buloh dan dari situ, penumpang akan dibawa menggunakan tren MRT ke Stesen KL Sentral sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen Gemas menggunakan ETS.

Sama seperti sektor Utara, tren ETS dari sektor Selatan juga akan beroperasi hingga Stesen KL Sentral dan penumpang akan dibawa menaiki MRT dari stesen itu ke Stesen Sungai Buloh sebelum meneruskan perjalanan ke sektor Utara menggunakan ETS.

"Penumpang ETS boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh sekiranya berhasrat membatalkan perjalanan dan boleh juga membuat pertukaran tarikh perjalanan, bergantung kepada kekosongan tiket.

"Jangkaan kelewatan bagi semua perkhidmatan tren ETS adalah antara 30 minit hingga satu jam," kata syarikat itu.

KTMB turut memohon maaf atas kesulitan berkenaan dan orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh melayari laman Twitter rasmi KTMB, @ktm_berhad atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.-Berita Harian

MERSING: Seramai empat polis pengiring dan dua orang kena tuduh (OKT) cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata dalam kejadian jam 1.27 tengah hari itu, enam lagi OKT tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, ketika kejadian van jenis Kia Pergio itu dipandu dari arah Kota Tinggi menuju ke Mersing hilang kawalan dan terbabas di jalan selekoh di Kilometer 33 Jalan Kota Tinggi-Mersing sebelum terbalik.

"Tiga anggota adalah daripada cawangan pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, manakala seorang lagi anggota daripada Balai Polis Mersing semuanya mengalami kecederaan ringan.

"Seorang OKT lelaki cedera di kepala, seorang lagi di bahu kiri, manakala enam lagi tidak mengalami kecederaan," katanya.

Nuing berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-Berita Harian

SERI KEMBANGAN – “Kejadian terlalu pantas, bila saya toleh saja pokok, tanah semua dah gelongsor jatuh akibat runtuhan tebing yang berlaku,”kata saksi kejadian tanah runtuh di Jalan 1A/2, Taman Lestari Perdana, di sini, petang semalam.

Abdul Rahman Razali, 43, yang bekerja di stor berhampiran lokasi kejadian berkata, dia langsung tidak mendengar sebarang bunyi dan hanya mengetahui terdapat 11 kenderaan turut menggelongsor jatuh selepas meninjau keadaan sekitar.

“Masa tu saya nak ke tandas, bila saya toleh saja ke luar premis stor ni, saya tengok pokok yang berada di tebing ‘ghaib’, tanah pula menggelongsor dan jalan merekah.

“Bila saya keluar barulah nampak beberapa buah kereta dah terjunam di kawasan runtuhan itu,”katanya.

Abdul Rahman berkata, kelmarin cuaca panas, tiada angin kencang atau hujan lebat di kawasan sekitar yang mungkin menjadi penyebab kejadian berlaku.

“Semalam tak hujan, panas dari pagi tapi hairan juga sebab kejadian itu berlaku sepantas kilat tak sampai pun seminit, deretan pokok dan kenderaan semua sudah berada kaki tebing tanah.

“Saya masih bekerja lagi seperti biasa hari ini kerana pihak berkuasa belum keluar sebarang arahan pengosongan ,”katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 11 kenderaan jatuh akibat tanah runtuh]

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian runtuhan tanah tersebut.

Menurutnya, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian kira-kira jam 6.45 petang semalam daripada penduduk sekitar serta Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Hasil pemerhatian awal, kami syaki kejadian berpunca daripada ‘hydrostatic pressure’ yang menjadi punca tanah menggelongsor, mungkin terdapat aliran air namun belum dapat dipastikan sama ada ia dari paip utiliti atau penyambungan bekalan dilakukan secara haram.

“Bagaimanapun, bangunan premis komersil terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian disahkan masih selamat dihuni. Setakat ini belum ada arahan atau cadangan pengosongan bangunan dikeluarkan,”katanya tebing sepanjang 50 meter itu runtuh apabila berlaku pergerakan di bawah tanah.

Sementara itu, Mohd Zulkurnain berkata, pihaknya dimaklumkan 11 kereta yang menggelongsor jatuh adalah kenderaan lama diletakkan di kawasan itu selain kereta buruk yang sudah lama tersadai.

“Bila tiba di lokasi, anggota keselamatan dapati, semua kenderaan sudah menggelongsor akibat rekahan dan runtuhan tebing, syukur tiada kemalangan jiwa berlaku

“Sebarang perkembangan akan diberitahu dari masa ke semasa dan pihak majlis akan mengkoordinasikan mesyuarat khas bersama agensi terlibat bagi mengenalpasti punca dan langkah bakal diambil,”katanya kerja pembaikan akan dilakukan MPSJ.

Sinar Harian difahamkan, anggota keselamatan dan agensi terlibat masih berada di lokasi bagi mengawal dan mengenalpasti sekiranya berlaku pergerakan tanah baru di lokasi tersebut.

Terdahulu, Sinar Harian Online melaporkan sebanyak 11 kenderaan pelbagai jenis jatuh dalam satu kejadian tanah runtuh di Jalan 1A/2 Taman Lestari Perdana.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, kesemua kenderaan menggelongsor jatuh selepas berlakunya rekahan jalan di kawasan kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya telah memasang sawar di kawasan tersebut bagi tujuan keselamatan sementara.

Kejadian dirujuk kepada polis dan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya.

SEORANG anggota polis maut selepas kereta dinaiki melanggar papan iklan di Jalan Gembira OUG, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.50 pagi, mangsa, Nick Mazuan Shah Jaya Shadilan, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta BMW Z4 yang dipandu seorang lelaki bersama mangsa hilang kawalan sebelum melanggar papan tanda berkenaan.

"Pemandu berusia 35 tahun itu cedera ringan di leher dan kaki sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut.

"Mangsa yang maut adalah seorang anggota polis berkhidmat di Balai Polis Travers," katanya.

Ruslan berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan utama dan mempunyai tiga lorong menghala ke Jalan Klang Lama.

"Keadaan jalan sedikit berbukit dan berselekoh manakala cuaca ketika kejadian adalah baik dengan permukaan jalan yang kering.

"Mayat mangsa dihantar ke PPUM untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SABAK BERNAM - Seorang pemandu sebuah van terpaksa bertarung nyawa kira-kira satu jam akibat tersepit di tempat duduk kenderaan dipandunya selepas terlibat dalam kemalangan di Parit Baru, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 petang itu berlaku ketika, mangsa, Mohamad Rezuwan Mutalib, 25, memandu van jenis Nissan Vanatte dalam perjalanan dari arah Sungai Besar.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa ingin menghantar barang keperluan sebuah kafeteria di Institut Perakaunan Negara (IPN), Sungai Lang.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum van dipandunya terbabas dan terperosok dalam parit berhampiran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Saufi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.20 petang.

"Sebaik kami terima panggilan, seramai tujuh pegawai dan anggota diketuai Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azhar Ngah Rawi dengan sebuah jentera FRT dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.

"Sebaik sampai, kami dapati mangsa masih berada di dalam van dan tersepit di bahagian kaki," katanya.

Mohd Saufi berkata, pihaknya terpaksa menggunakan alat pemotong khas untuk memotong beberapa bahagian van yang remuk sebelum berjaya mengeluarkan mangsa 20 minit kemudian.

"Mangsa yang mengalami kecederaan patah kaki kanan kemudiannya di bawa ke Klinik Kesihatan Parit Baru sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernan untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.-Sinar Harian

RAUB - Seorang pekebun maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjatuh di dalam cerun di Jalan Raub-Sg Ruan, Kampung Tok Machang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kejadian yang berlaku pada jam 4.15 pagi telah menyebabkan mangsa yang bernama Liew Chee Meng, 44 yang menetap di Sungai Klau, Raub telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang merupakan pemandu serta rakannya, Tang Yinn Jiun, 39 yang memandu kereta jenis Proton Exora dalam perjalanan pulang dari Raub hendak balik ke Sungai Klau.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu oleh mangsa telah terbabas ke sebelah kiri jalan dan jatuh ke dalam cerun.

“Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa yang memandu kenderaan tersebut telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang pula telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Raub,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Zahari berkata, mangsa yang meninggal dunia juga telah dibawa ke Hospital Raub untuk dilakukan postmorterm manakala mangsa yang terselamat hanyalah cedera dan luka di tangan dan muka.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan awal kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandu terbabas.

“Kemalangan tersebut turut menyebabkan Proton Exora tersebut rosak teruk seluruh bahagian dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan kes ini masih diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Khairul Anuar Yaakob berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.45 pagi dan seramai lapan anggota diperlukan bagi melancarkan operasi ini dan tiba di tempat kejadian pada pukul 4.10 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah kenderaan jenis proton exora telah terbabas dan melanggar pokok dan seterusnya penumpang kenderaan tersebut selamat manakala pemandu kenderaan tersebut telah terperosok ke bawah kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

“Seterusnya operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan hydraulic rescue cutter dan kita telah menyerahkan mangsa ke pihak polis untuk tindakan lanjut dan berjaya menamatkan operasi pada jam 4.46 pagi,” katanya.-Sinar Harian

KEMAMAN - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan saat getir apabila ibunya maut, adiknya parah manakala dia bersama dua lagi mangsa cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan kereta dan van ketika dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan kertas Prinsip Perakaunan 1 SPM 2017, kira-kira jam 7.15 pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku selepas kereta Proton Waja dinaiki Nuryn Elmira Farhana Mohd Hamzah, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal bersama ibu dan adiknya berlanggar dengan sebuah van Toyota Hiace di Kilometer 130 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu di Kampung Meraga Beris, di sini.

Akibat nahas itu, ibunya, Surina Ghani, 40, yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia dunia di lokasi kejadian manakala adiknya yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara, Nuryn Elisha Farhana Mohd Hamzah, 12, patah tulang pipi selain mengalami kecederaan dalaman.

Nuryn Elmira pula mengalami retak tulang bahu kanan dan pergelangan tangan kanan menyebabkan dia terpaksa menduduki kertas Prinsip Perakaunan 1 dan 2 di Hospital Kemaman masing-masing pada jam 8 dan 10 pagi.

Semasa kejadian, tiga beranak itu baharu keluar dari simpang rumah mereka di Kampung Meraga Beris untuk ke SMK Kijal sebelum berlanggar dengan van dinaiki dua sukarelawan Aman Palestin yang berada di lorong kanan jalan dan dalam perjalanan dari arah Chukai ke Kerteh untuk membuka booth pameran.

Ekoran itu, sukarelawan terbabit, Mariani Mohd Nor, 27, turut mengalami patah tulang pipi dan rakannnya yang memandu van itu turut tercedera.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang mengesahkan kemalangan itu berkata, kesemua mangsa yang parah dan cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan dan mangsa maut turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Bagaimanapun, menurutnya, berikutan keadaan Nuryn Elisha yang kritikal, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada jam 10.30 pagi tadi untuk rawatan lanjut.

Kata beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video

[Video][video]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget