Kedai Emas Dirompak

SHAH ALAM: Tujuh dulang barang kemas bernilai kira-kira RM1.2 juta di sebuah kedai emas di sebuah pusat beli belah di Seksyen 14, di sini, lesap dilarikan empat penjenayah dalam kejadian samun bersenjata, malam ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner R Supramaniam berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, tiga lelaki yang berpakaian gelap serta memakai topi keledar penuh, dilihat memasuki premis rangkaian kedai emas terkenal itu sebelum melepaskan sedas tembakan ke arah siling.


Beliau berkata, seorang lagi rakan mereka berada di luar premis.

"Dengan menggunakan tukul, mereka memecahkan cermin meja pameran dalam kedai berkenaan sebelum melarikan barang kemas dalam tujuh dulang dari kedai ini. Mereka mengambil masa antara tiga hingga tujuh minit.

"Empat lelaki ini kemudian melarikan diri ke arah rakan mereka yang sudah menunggu dengan tiga buah motosikal di luar pusat beli belah.

"Kerugian pada masa ini dianggarkan berjumlah RM1.2 juta. Ketika kejadian ada empat pekerja kedai emas dalam premis terbabit selain tiada pelanggan dan tiada kecederaan dilaporkan," katanya kepada pemberita.

Supramaniam berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan sepucuk pistol jenis revolver.

Beliau berkata, pengawal keselamatan di kedai emas itu berada di luar premis ketika kejadian.

Katanya, kedai itu juga dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain meminta mana-mana pemilik premis berdekatan yang juga mempunyai sistem kamera pengawasan serta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul berkata, tiga suspek kes samun itu dilihat tidak tergesa-gesa ketika menghampiri premis berkenaan kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Beliau berkata, ketika itu beliau berasa pelik memandangkan ketiga-tiga lelaki berkenaan mengenakan topi keledar penuh serta berbaju warna gelap.

Katanya, beliau memanggil rakannya sekerjanya sebelum terdengar bunyi tembakan yang kuat serta sedikit asap.

"Sebaik terdengar bunyi tembakan saya dan rakan terus melarikan diri ke arah bertentangan.

"Saya kemudian nampak ketiga-tiga mereka berjalan dengan bersahaja keluar dari premis kedai emas itu dengan menggenggam barang kemas yang disamun sebelum berlari keluar pusat beli belah ini selepas menyedari pengunjung menjerit ke arah mereka," katanya.-Berita Harian

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget