Ejen Hartanah Terselamat Dalam Insiden Tembakan

Mohamad Roy Suhaimi Sarif
KUALA LUMPUR: Seorang wanita ejen hartanah berdepan situasi cemas apabila seorang lelaki bersenjata pistol melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan dipandunya berhampiran sebuah kondominium di Jalan Setapak Indah dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa yang berusia 31 tahun pada mulanya sedang berada dalam kenderaan jenis Mercedes Benz C200 yang diparkir di tepi jalan berhampiran kondominium itu sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup.

Lelaki itu kemudian mengetuk cermin tempat pemandu dengan satu objek kelihatan seperti belakang pistol menyuruh wanita itu keluar daripada kenderaannya.

Bagaimanapun, wanita itu terus mengundurkan keretanya dan cuba memecut kenderaan menyebabkan suspek melepaskan satu das tembakan ke arahnya.

Dalam usahanya menyelamatkan diri, kenderaan mangsa terlanggar sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dipercayai rakan suspek pertama, yang cuba menghalangnya melarikan diri.

Namun mangsa terus mengundurkan kenderaan dan berjaya meloloskan diri sebelum terdengar satu lagi das tembakan dilepaskan.

Sumber memberitahu, mangsa terus memandu ke sebuah pusat perniagaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dan menelefon seorang rakan seterusnya membuat laporan polis.

"Pemeriksaan menemui kesan tembakan pada lampu kanan selain menemui satu peluru yang mengenai tayar kanan kenderaan mangsa.

"Susulan kejadian itu, pihak polis merakam percakapan mangsa dan teman lelakinya kerana kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah milik lelaki berkenaan," kata sumber.

Kata sumber lagi, ketika kejadian, mangsa baru parkir kenderaannya di lokasi terbabit untuk ke pejabatnya yang terletak kira-kira 100 meter dari situ selepas tiada ruang parkir kosong berhampiran pejabatnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan berhubung motif sebenar kejadian masih dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.-Berita Harian

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget