50 Syarikat Terkemuka Elak Bayar Cukai - Irmohizam

KUALA LUMPUR: Lebih 50 syarikat korporat terkemuka dalam sektor telekomunikasi, hartanah dan perladangan di negara ini dikesan mengelak membayar cukai, dakwa Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Lebih mengejutkan, beliau mendakwa, 20 daripada syarikat terbabit yang sudah dikenal pasti dan dinilai, memiliki cukai sebenar yang tidak dibayar berjumlah RM1 bilion.

"Persoalannya, sekiranya syarikat korporat gergasi yang dimiliki jutawan turut terbabit dalam elak cukai ini, apatah lagi syarikat kecil yang turut terbabit dalam hal ini.

"Justeru itu, saya ingin bertanya apakah mekanisme terbaik yang sedang dirangka kementerian dalam menangani ketirisan pengelak cukai dan sejauh manakah pemantauan dibuat bagi mengatasi masalah ini?," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di peringkat jawatan kuasa Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Irmohizam turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada 24 syarikat yang menerima anugerah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada CSR Malaysia di atas pembabitan aktif membantu masyarakat menerusi pelbagai bentuk bantuan.

Bagi menggalakkan lagi pembabitan sektor swasta dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat, Irmohizam mencadangkan kerajaan memberi pelepasan cukai kepada syarikat yang aktif dalam melaksanakan aktiviti CSR.

"Saya turut meminta agar pelepasan cukai ini diberikan kepada syarikat kerajaan yang memberi peluang kepada graduan untuk menjalani latihan industri atau 'internship' di syarikat mereka.

"Seterusnya saya ingin mencadangkan agar potongan cukai turut diberikan kepada atlet OKU atau atlet yang memenangi pingat di peringkat kejohanan antarabangsa bagi menghargai usaha di samping memberikan galakan kepada mereka," katanya. - BERNAMA

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget