Anggota , Pemimpin MIC Diminta Jangan Sabotaj Parti Jika Tidak Jadi Calon

IPOH, 15 Nov: Pengerusi MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengingatkan pemimpin dan anggota MIC di Perak supaya tidak mensabotaj parti jika tidak terpilih menjadi calon wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata mereka yang tidak terpilih sebagai calon perlu meneruskan perjuangan seterusnya memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih sebagai wakil rakyat bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar pada PRU14.

“Semua pihak perlu bekerja keras dan menggembleng tenaga, jangan sabotaj parti dan jangan mengganggu antara satu sama lain. Kalau kita (BN) kalah dalam pilihan raya bukan kerana pembangkang semata-mata tetapi disebabkan pihak kita sendiri.

“Bila BN kalah, MIC akan rugi dan masyarakat India akan menjadi mangsa kerana tidak mempunyai wakil dalam kerajaan Persekutuan dan negeri disebabkan sikap sesetengah pihak yang mementingkan diri sendiri dan kita seharusnya perlu belajar daripada pengalaman yang lalu supaya tidak berulang,” katanya.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata demikian dalam ucapan Majlis Ramah Mesra Deepavali yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir anjuran Badan Perhubungan MIC Perak yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di sini malam ini.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata pihaknya menyasarkan memenangi dua kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dalam PRU14.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kepada faktor hasil gerak kerja yang diatur oleh jentera parti.

“Ini bukan perkara yang mustahil kerana kita yakin boleh menang dalam pilihan raya kerana kita mempunyai calon boleh menang dan digemari oleh masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.
— BERNAMA

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget