SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan berdepan dengan satu lagi pertuduhan baharu kerana keluar negara tanpa mengikuti laluan sah.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, Jamal yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh akan didakwa mengikut Seksyen 51 Akta Imigresen 1953/1963.
Menurutnya, pertuduhan baharu itu adalah susulan laporan polis dilakukan pihaknya sebaik saja Jamal diekstradisi ke negara ini pada 5 Julai lalu.
"Tarikh sebutan kes itu adalah pada 31 Julai ini, dan pertuduhan itu dibuat susulan laporan polis oleh anggota kita selepas beliau (Jamal) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tempoh hari," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Dengan pertuduhan baharu itu, Jamal kini menghadapi lima pertuduhan secara keseluruhannya.
Empat pertuduhan sebelum ini adalah dua mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan satu bagi kes Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 224 kerana melarikan diri dalam tahanan yang sah.
Jamal, 48, sebelum ini dipercayai menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor pada 25 Mei lalu.
Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu kemudiannya ditangkap Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) ketika sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta pada 2 Julai lalu.
Post a Comment