Perlembagaan UMNO Perlu Diubah

SHAH ALAM: Perlembagaan UMNO perlu dipinda bagi memberi ruang kepada penambahbaikan dalam usahanya menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sesetengah terma dalam Perlembagaan itu menghalang kepemimpinan baharu parti itu untuk meremajakan semula UMNO.

"Kita perlu mengubah (Perlembagaan) mengikut peredaran zaman. Perkara ini akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu nanti selepas menerima maklum balas daripada pemimpin bahagian dan cawangan.

"Perlembagaan parti ketika ini lebih sesuai ketika BN (Barisan Nasional) masih menjadi kerajaan. Tetapi bukan ketika ini. Agak sukar membuat perubahan apabila Perlembagaan mengikat kita.

"Sebagai contoh, parti mempunyai sistem keahlian yang ketat. Jika Perlembagaan dipinda, kita boleh mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ahli bersekutu.

"Ini akan meluaskan jangkauan kita," katanya kepada pemberita selepas program Wacana Sinar Ke-64: Mampukah BN Bangkit Semula?, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Mohamad juga berkata, tidak perlu ada klausa dalam Perlembagaan yang membenarkan pemilihan parti ditangguhkan.

Berdasarkan Perlembagaan UMNO, pemilihan parti perlu diadakan setiap tiga tahun, tetapi ia boleh ditangguhkan sehingga 18 bulan.

"Jika Perlembagaan menyatakan tiga tahun, kita perlu mengadakan pemilihan parti setiap tiga tahun. Tidak perlu ada klausa. Ini yang menyebabkan akar umbi marah.

"Selain itu, pemimpin dan Ketua Bahagian juga akan bersikap acuh tidak acuh jika mereka berada dalam kedudukan sama untuk jangka masa panjang.

"Tetapi, jika kita adakan pemilihan setiap tahun, contohnya, mereka akan bekerja keras untuk mengekalkan kedudukan.

"Sekian lama kita bertolak ansur dengan ahli parti, tetapi bukan kepada parti itu sendiri. UMNO sudah ketinggalan jauh kerana ini. Kita perlu perubahan, transformasi dan menjual UMNO sebagai produk baharu yang diterima masyarakat.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis menjadi ujian kepada UMNO," katanya.

Sementara itu, Asyraf menekankan kepentingan untuk UMNO diberi wajah baharu, dengan menggalakkan orang muda memainkan peranan penting dalam parti itu.

"Kita perlu membuang tingkah laku sebelum ini yang angkuh dan jahil. Kita perlu mempunyai pendekatan baharu, lebih berhati rakyat.

"Sebagai pembangkang, kita perlu bertindak untuk menyemak dan mengimbang kerajan Pakatan Harapan," katanya.

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget