Rakyat Malaysia dari seluruh pelusuk negara kali ini perlu sama-sama untuk memberikan sokongan kepada atlet Team Malaysia bagi memastikan gelaran juara keseluruhan Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menjadi milik kontinjen negara.
Tinggal 7 hari lagi, sebelum acara sukan terbesar di rantau Asia Tenggara ini yang berlangsung selama 12 hari dari 19 Ogos hingga 30 Ogos 2017 ini bermula.
Kali terakhir Malaysia bergelar juara adalah pada temasya di Kuala Lumpur pada 2001, sudah 16 tahun berlalu. Ketika menjadi juara pada Sukan Sea 2001, Malaysia berjaya mengutip 111 emas, 75 perak dan 85 gangsa menjadikan kutipan keseluruhan pingat sejumlah 271 pingat.
Thailand di tempat kedua dengan 103 emas dan Indonessia di tangga ketiga dengan 72 emas. Pada temasya 2001, semangat Si Tumas atau singkatan nama bagi si Tupai Emas menjadi inspirasi pasukan negara pada ketika itu. Tupai dijadikan sebagai maskot kerana dikatakan sebagai binatang yang mesra, ceria, bertenaga dan pantas.
Kali ini, maskot pasukan negara adalah Rimau diambil sempena nama Harimau Malaya yang sifatnya berdasarkan warna logo Sukan Sea yang dipilih iaitu warna hijau bagi sifat hormat pada lawan dan semangat kesukanan Sukan Sea.
Warna biru melambangkan sikap yang positif, kesukanan dan menang dengan bermaruah. Warna merah pula melambangkan sifat penuh integriti. Warna hitam adalah semangat perpaduan dan kebersamaan manakala warna kuning melambangkan pergerakan yang pantas dan kuat.
Ringkasnya, Rimau ini adalah melambangkan sikap hormat, integriti, pantas, positif dan perpaduan. Dengan semangat Rimau inilah semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah melaungkan kata kata semangat buat kontinjen negara.
“Ingatlah anda akan bersaing di bumi sendiri. Jadi, mari berhempas pulas bersama-sama rakyat Malaysia yang pasti akan memberi sokongan dengan penuh semangat diiringi doa dan restu semua tidak kira keturunan, bangsa, agama dan budaya.
“Setiap daripada mereka ingin melihat kejayaan setiap atlet. Kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah terbaik dan lebih daripada itu muncul sebagai juara KL 2017,” kata Datuk Seri Najib.
Target emas Malaysia kali ini adalah 111 pingat emas.
Kemenangan pada temasya kali ini adalah yang paling bermakna kerana ia adalah sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia memandangkan tarikh berakhir temasya ialah sehari sebelum hari kemerdekaan negara iaitu pada 30 Ogos 2017. Kemeriahan pasti berganda jika Malaysia berjaya muncul juara Sukan Sea 2017.
Hadiah yang cukup bermakna juga buat Perdana Menteri Malaysia kerana pada Sukan SEA tahun 1989, Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malaysia berjaya mengutip 67 pingat emas dan kali ini, Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri Malaysia, sudah tentulah kemenangan Sukan Sea 2017 ini adalah hadiah yang amat bermakna buat dirinya dan seluruh rakyat Malaysia.
Ada petanda positif apabila pihak penganjur KL2017 sudah menyatakan bahawa tiket-tiket untuk perlawanan dan acara tertentu sempena temasya kali ini sudah habis dijual. Malah baju Sukan Sea yang sedang dijual di semua stesyen Petronas di seluruh negara banyak yang sudah habis dijual. Laris, biarpun harganya RM50 sehelai.
Ucapan Datuk Seri Najib ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara semalam, beliau dengan sungguh-sunguh mahu melihat atlet Malaysia berjuang memastikan kejayaan Malaysia.
"Kita mahu lihat aksi bertaraf dunia dipamerkan setiap atlet sekali gus meletakkan kita sebagai jagoan atau kontinjen terbaik di rantau ASEAN.
"Jadi, saya mewakili 30 juta rakyat memohon anda semua agar berjuanglah bersungguh-sungguh demi mengharumkan nama Malaysia," katanya.
Untuk KL2017, Malaysia akan diwakili 873 atlet melibatkan 38 jenis sukan merangkumi 404 acara. Tahun ini, adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.
Najib turut menyemarakkan semangat para atlet dengan menyatakan bahawa mereka ada kelebihan kerana beraksi di laman sendiri dan ia perlu digunakan untuk memastikan Malaysia menjadi juara.
"Dengan kelebihan ini, kami semua amat yakin sejarah baharu mampu dicipta dan mahu anda semua lakukan sehabis baik sekali gus membawa kontinjen negara muncul sebagai juara keseluruhan, " kata Najib.
Beliau berkata, rakyat Malaysia hanya mampu berdoa dan memberi sokongan dengan bertepuk sekuat mungkin ‘sehingga lebam tangan’ tetapi akhirnya yang menentukan kejayaan memperoleh kilauan pingat emas ialah atlet-atlet itu sendiri.
Sukan SEA akan membuka tirai pada 19 Ogos dan berakhir pada 30 Ogos nanti. Ayuh bersama sama mainkan “hashtag” di bawah ini bersama sama dengan kata kata semangat buat kontinjen negara kita sempena Sukan Sea ini.
Misi 111 pingat emas boleh dilakukan dengan sokongan dan bantuan rakyat Malaysia semua, ayuh kita jayakan.
#SukanSeaKualaLumpur2017 #BangkitBersama #KL2017
Tulisan :
Beruang Biru
BB537, Jumaat
11 Ogos 2017
Post a Comment