Pindaan Akta 164 Memberi Keadilan Kepada Semua Pihak & Menyelesai Banyak Isu



9 Ogos 2017, Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di Dewan Rakyat.

RUU yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, diluluskan pada jam 12.45 tengah malam selepas dibacakan kali ketiga serta dibahaskan lebih empat jam, bermula jam 8.30 malam.

Ada yang berkata Pindaan Akta ini adalah hari malang buat umat Islam. Dakwaan itu adalah tidak benar. Pindaan Akta 164 ini banyak menyelesaikan isu "limping marriages" dan memberi keadilan kepada semua pihak termasuklah hak penjagaan anak anak.

Elok kita baca dulu apakah kebaikan kebaikan bila Akta 164 ini dipinda.

Pertamanya, pindaan ini akan menyelesaikan pertikaian dan pertindihan bidang kuasa antara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah.

Sebelum pindaan ini, pasangan yang memeluk Islam bertindak memfailkan apa apa tuntutan di mahkamah syariah dan pihak bukan Islam memfailkan di mahkamah sivil. Akibatnya terdapat dua perintah berbeza daripada dua dua mahkamah. Ini telah menyusahkan kedua dua pihak, mahu mengikut perintah mahkamah syariah atau mahkamah sivil?

Keduanya, pindaan ini akan membolehkan pasangan yang telah memeluk Islam memfailkan petisyen penceraian di mahkamah sivil.

Sebelum pindaan akta 164 dibuat, pasangan yang telah memeluk Islam tidak boleh memfailkan cerai di mahkamah sivil dan seandainya pihak satu lagi tidak memfailkan penceraian, perkahwinan mereka masih sah di bawah Akta 164.

Ketiganya, ianya akan menyelesaikan segala pertikaian berkaitan harta yang diperolehi semasa pernikahan apabila salah satu pasangan memeluk Islam.

Dengan pindaan akta 164 ini dapat mengelakkan pasangan yang memeluk Islam menggunakan alasan pengislamnya untuk tidak membahagikan harta hartanya.

Keempat, dapat memastikan tempoh pemberian nafkah anak dilanjutkan sehingga tamat belajar. Ianya bagi menjamin kebajikan anak terus dipelihara walaupun berlainan agama.

Keempat empat kebaikan ini mampu menyelesaikan banyak isu berbangkit melibatkan perkahwinan suami isteri yang salah seorangnya dahulu telah memeluk Islam.
Ini dapat menjaga kepentingan dan memberi keadilan kepada kedua-dua pihak.

"Dalam kebanyakan kes, mereka berkahwin dalam keadaan bukan Islam mengikut undang-undang sivil kemudian memeluk Islam. Dalam kebanyakan kes juga, mereka yang tidak bertanggungjawab dalam aspek agihan harta sepencarian, penjagaan anak dan sebagainya menjadi masalah.

"Pindaan ini mewujudkan pilihan kepada yang memeluk Islam atau yang masih beragama asal untuk menyelesaikan perceraian di mahkamah sivil.

"Kita tak mahu situasi ada pihak tidak bertanggungjawab larikan diri daripada mencerai atau membubarkan perkahwinannya dengan bekas pasangan, sehingga seolah-olah ada dua keluarga (apabila berkahwin lain). Pindaan ini supaya yang memeluk Islam boleh ke mahkamah sivil," kata Datuk Azalina.

Perlu difahami dengan jelas bahawa pindaan Akta 164 ini tidak sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana hal ehwal orang Islam dan undang-undang Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan itu sendiri.

Pindaan ini telah memberi satu sinar baru kepada sistem keadilan Islam di negara ini. Almarhum Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim, arkitek Sistem Perundangan Syariah Negara telah mengusulkan pindaan ini sejak 1986 lagi.

Alhamdulillah, kini ianya telah dipinda bagi memberikan keadilan kepada semua pihak. Pindaan Akta 164 akan membuatkan Islam akan lebih dihormati.

Ini kerana orang Islam tidak menganiaya sesiapa malah mengembalikan hak kepada yang berhak. Ia juga memberikan isyarat kepada semua agar tidak menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.

Oleh itu, umat Islam usahlah mempolemikkan pindaan Akta 164 ini. Fahami dulu isinya dan kaji sampai habis, akhirnya akan terjumpa kebaikan di dalamnya.

Tulisan :
Beruang Biru
BB536, Jumaat
11 Ogos 2017

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget