Enam Inisiatif Veteran ATM






KUALA LUMPUR 31 Julai - Jasa dan pengorbanan para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dihargai kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam berita gembira kepada golongan tersebut.

Pengumuman itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh lebih 15,000 veteran ATM yang menghadiri Perhimpunan Veteran ATM dan Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2017 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan dekat sini hari ini.


Perdana Menteri berkata, inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN) yang disalurkan khas kepada veteran ATM tidak berpencen merupakan bantuan tahunan kepada golongan tersebut untuk membantu meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

“Sebanyak RM1,200 akan diberikan kepada veteran ATM tidak berpencen berdasarkan senarai penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan seramai 66,000 orang dijangka mene­rima faedah ini.

“Bagi veteran ATM tidak berpencen yang bukan pene­rima BR1M pula, mereka akan menerima RM600 dengan syarat sudah berumur 60 tahun ke atas,’’ katanya ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Penaung Kempen Tabung Pahlawan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Senator Laksamana (B) Tan Sri Anwar Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Najib berkata, melalui inisiatif kedua, kerajaan menambah baik Skim Perkhidmatan ATM yang dinamakan Skim Anuiti Veteran (SAVe) di mana skim ini memberikan pendapatan bulanan seumur hidup kepada bakal veteran tidak berpencen sepertimana veteran yang mendapat pencen bulanan.

“Skim SAVe ini tertakluk kepada anggota ATM yang sedang berkhidmat di mana inisiatif tersebut membolehkan anggota ATM tetap mendapat inisiatif walaupun berhasrat untuk berhenti awal daripada perkhidmatan,’’ katanya.

Seterusnya, Najib berkata, kerajaan turut bersetuju untuk menambah baik Skim Pencen Hilang Upaya bagi veteran ATM dan bekas anggota Wataniah sepenuh masa yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun serta tidak menerima pencen perkhidmatan.

Kata beliau, para veteran ATM yang tergolong dalam kategori ini akan mendapat kenaikan kadar pencen bermula antara 300 peratus hingga 800 peratus untuk pembayaran pencen mereka.

“Ia melibatkan nilai minimum dari RM500 hingga nilai maksimum RM2,000,” ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, bagi veteran yang mengalami kelainan upaya selepas bersara, PVATM telah mewujudkan Insentif Veteran Kelainan Upaya dan melaluinya, mereka menerima RM500 setahun menerusi dana yang diperoleh hasil kutipan Tabung Pahlawan.

‘‘Saya sendiri akan menambah sebanyak RM500 lagi dengan menggunakan peruntukan kerajaan, menjadikan jumlah keseluruhan insentif ini kepada RM1,000.

‘‘Selain itu, kuota untuk vete­ran ATM mengerjakan haji juga turut ditambah pada tahun ini kepada 400 orang tahun ini berbanding 100 orang pada tahun sebelumnya,’’ katanya.

Tambah Najib, kerajaan juga akan menyalurkan RM5 juta untuk Tabung Pahlawan 2017 bagi mengenang jasa-jasa anggota ATM yang telah berkorban mempertahankan negara.

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget