Bagi setiap pilihan raya, antara perkara yang sering diberikan tumpuan oleh semua pihak adalah manifesto yang bakal menentukan hala tuju perjuangan sesebuah parti.
Semalam, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg telah merasmikan manifesto Barisan Nasional Sarawak bagi Pilihan Raya Kecil N03 Tanjong Datu di Dewan Masyarakat Lundu.
Sebanyak 17 perkara telah digariskan oleh kerajaan negeri bagi memangkinkan pembangunan DUN Tanjong Datu dan seluruh Sarawak secara amnya.
Sebanyak RM863.2 juta telah diperuntukkan untuk DUN Tanjung Datu bagi membangunkan 600 projek yang menyaksikan aspirasi pembangunan yang dirangka oleh Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dapat diteruskan.
Melihat kepada senarai panjang manifesto Barisan Nasional Sarawak serta jumlah yang diperuntukkan untuk membangunkan DUN ini, boleh dianggap ia adalah menyambung legasi dan perancangan yang telah dirangka demi kebajikan penduduk setempat.
Semua aspek telah digariskan oleh kerajaan negeri termasuklah pelbagai isu berbangkit seperti isu tuntutan tanah adat (NCR), penambahbaikan kemudahan asas seperti bekalan air dan elekterik, pendidikan, kesihatan dan juga pembangunan infrastruktur yang kesemuanya bakal memberi manfaat jangka panjang buat penduduk di Tanjong Datu.
Secara tidak langsung menggambarkan komitmen jitu kerajaan negeri untuk meneruskan apa yang telah dirancang sebelum ini.
Ia juga telah menjawab pelbagai persoalan samada kerajaan negeri hari ini mahu ataupun tidak meneruskan segala yang dirancang.
Paling utama, tiada satu kaum atau etnik akan ketinggalan dalam usaha kerajaan negeri membangunkan DUN ini serta usaha berterusan kerajaan negeri memajukan seluruh negeri Sarawak seperti yang diidamkan oleh Allahyarham Tok Nan.
Harus diakui, kesemua ini bukan mudah untuk dilakukan.
Namun hasil daripada mandat besar yang diperolehi semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 11 tahun lalu, kerajaan negeri Sarawak dilihat mampu merealisasikan segala yang dirancang.
Atas sebab inilah, para pengundi di DUN Tanjong Datu diseru untuk terus memberikan mandat yang besar buat calon BN di DUN ini, Puan Seri Jamilah Anu untuk meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tok Nan dan sekaligus membolehkan kerajaan negeri meneruskan segala perancangan di DUN ini demi masa depan yang lebih baik.
Tulisan:
Beruang Biru
BB274, Jumaat
10 Februari 2017
Post a Comment