URUSAN berkaitan umat Islam seperti fatwa dan sebagainya, merupakan perkara yang amat sensitif dan perlu dikendalikan oleh mereka yang arif serta faham mengenainya.
Oleh yang demikian, apa sahaja isu yang melibatkan hal ehwal agama Islam - dalam hal negeri Pulau Pinang yang tidak mempunyai Sultan atau Raja, Jawatankuasa Fatwa Negeri sebagai pihak berkuasa agama yang relevan, sebelum DYMM Yang Dipertuan Agung selaku ketua agama negeri adalah pihak yang dimaksudkan.
Tidak ada yang lain dari itu.
Justeru, apabila timbul dakwaan beberapa pihak seperti PAS negeri yang mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang masuk campur dalam urusan fatwa negeri itu dengan setiap fatwa yang telah diluluskan Jawatankuasa Fatwa untuk mendapat perkenan YDPA perlu melalui mesyuarat Exco terlebih dahulu, ramai orang Islam terkejut.
Peruntukan mana yang menetapkan fatwa perlu melalui mesyuarat Exco untuk kelulusan atau maklum balas? Di negeri yang diperintah ketua kerajaan beragama Islam sekalipun,tidak wujud peruntukkan barisan Exco perlu ‘menapis’ fatwa sebelum mendapat perkenan YDPA!!
Perkara 3(3) Perlembagaan Persekutuan ada menyebut bahawa YDPA merupakan Ketua Agama Islam di negeri itu. Maka, apa hak untuk selain YDPA bertindak mencampuri urusan agama ini?
Semua ini perlu mendapat penjelasan kerajaan negeri kerana kenyataan Exco Agama Pulau Pinang kononnya bukan kelulusan tapi sekadar ‘maklum balas’, begitu meragukan kerana tidak wujud peruntukan sebegitu walaupun sekadar formaliti.
Lagipun, mustahil ‘maklum balas’ yang dimaksudkan ini hanya melibatkan Exco Agama dengan Ketua Menteri bukan Islam dan majoriti barisan Exco yang sama sepertinya, tidak terlibat dalam memberikan ‘maklum balas’ tersebut.
Dari beberapa kenyataan yang diberikan oleh beberapa pihak termasuk dalam Jawatankuasa Fatwa sendiri, ada fatwa yang tidak sampai kepada YDPA untuk mendapat perkenan baginda kerana menunggu ‘maklum balas’ kerajaan negeri.
Pemahaman kita, itu bukan ‘maklum balas’ tapi kelulusan.
Tulisan :
Beruang Biru
BB275, Jumaat
10 Februari 2017
Post a Comment