Ringgit Dispekulasi, Pasaran Saham Tetap Kukuh

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Spekulator mata wang terus menjadi ancaman kepada negara apabila mempengaruhi kejatuhan nilai ringgit yang ditutup hampir RM4.50 berbanding dolar, iaitu paras terendah sejak Januari 1998.

Peranan spekulator semakin jelas memandangkan tiada sebab munasabah yang boleh menjejaskan prestasi mata wang itu, sebagaimana dibuktikan dengan prestasi Indeks utama Bursa Malaysia, KLCI yang ditutup lebih tinggi hari ini kepada 1,647.47 mata berbanding 1,635.53 mata semalam, sekali gus mencecah paras tertinggi sejak 10 November lalu.

Pengukuhan itu memadamkan impak yang dialami oleh KLCI sejak kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS). Selain itu, ia turut didorong oleh pengukuhan semula harga minyak dunia yang selama ini menjadi faktor utama mempengaruhi nilai ringgit.

Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, peranan spekulator terus menjadi punca utama kemerosotan ringgit dengan memperbesar-besarkan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini sebagai cubaan kawalan modal.

“Ia lebih disebabkan persepsi. Malah, BNM sendiri menjelaskan tindakan yang telah diambil bukan bertujuan untuk melakukan kawalan modal.
“Namun, kami merasakan nilai ringgit akan pulih kembali berdasarkan trend pengukuhan harga komoditi serta pengukuhan eksport,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam sesi dagangan hari ini, ringgit mencecah RM4.4960 berbanding dolar AS, meneruskan trend penurunan sejak penghujung tahun lalu. Kejatuhan ringgit itu bagaimanapun tidak selari dengan kenaikan indeks KLCI yang ditutup 1,647.47 mata, naik 12 mata berbanding semalam.
Gabenor BNM, Datuk Seri Muhammad Ibrahim sebelum ini meluahkan kekecewaan disebabkan tindakan spekulator tersebut sehingga membuatkan pemain-pemain industri tempatan menjadikan nilai dagangan ringgit di luar pesisir sebagai rujukan bagi menentukan nilai mata wang tersebut, berbanding membuat penentuan sendiri.

Nazri Khan bagaimanapun menganggap kemerosotan ringgit hanya bersifat sementara dan mata wang itu akan kembali pulih disebabkan pengukuhan semula harga minyak dunia serta prestasi dagangan negara.

Katanya, pengukuhan semula harga minyak akan terus me­ngukuhkan prestasi saham-saham syarikat minyak dan gas (O&G) yang merosot sehingga menjejaskan KLCI.

Bulan lalu, BNM dengan kerjasama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) melaksanakan enam inisiatif bagi memperkukuhkan kedudukan ringgit termasuk dengan hanya membenarkan aktiviti perdagangan, pengeksport boleh mengekalkan sehingga 25 peratus hasil eksport dalam mata wang asing dan selebih­nya dalam ringgit.

Sementara itu, Penganalisis HLIB Research, Sia Ket Ee berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh BNM akan membendung spekulasi terhadap ringgit, seharusnya mententeramkan pasaran mata wang negara.
- Utusan Online

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget