Kemenangan UMNO, BN Janji Masa Depan Cerah Negara Dan Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) — Berbekalkan rekod kejayaannya dalam mentadbir urus negara yang tidak boleh dipertikaikan, Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan UMNO mampu menjamin masa depan negara yang lebih cemerlang demi faedah rakyat jika rakyat memilihnya pada pilihan raya umum akan datang.
Menyampaikan ucapan dasar pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2017, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan UMNO dam BN ingin menjunjung Malaysia, bukan sekadar menjadi jaguh di rantau ini, bahkan tersenarai sebagai 20 negara terunggul di dunia.
Beliau berkata rakyat mempunyai pilihan sama ada untuk bersama kerajaan dalam mencapai agenda prgresif itu atau memilih pembangkang yang penuh dengan amalan kronisme dan pemerintahan ?kuku besi’.
“Sama ada ingin menuju cahaya di hujung jalan yang sudah tampak terang benderang dengan segala harapan pasti melonjak negara ke masa hadapan, di bawah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional, yang terbukti progresif, sarat dengan rekod-rekod prestasi yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
“Atau…berbanding jalan yang bukan lagi sekadar suram dan samar di bawah cengkaman Dinasti DAP, bahkan teraba-raba tanpa arah tuju, kelam-gelita penuh dengan tipu daya dan akhirnya kelak hanya akan mengheret kita kembali ke masa purba dan silam, dengan amalan-amalan kronisme dan pemerintahan kuku besi,” katanya di hadapan lautan merah 5,628 anggota perwakilan daripada 191 bahagian UMNO seluruh negara.
Perdana menteri berkata UMNO dan BN merupakan parti untuk semua yang selama ini meraikan kepelbagaian dalam negara dan keharmonian untuk hidup rukun bersama, saling bergantung dan lengkap melengkapi.
Beliau menegaskan UMNO juga bukan parti rasis malah diterima mengepalai parti-parti komponen daripada pelbagai bangsa sejak puluhan tahun dengan berhemah.
“UMNO bukan antikaum Cina tetapi ternyata kaum Cina dan sebahagian juga kaum India turut terseret, terperangkap menjadi mangsa persepsi dan pembohongan pembangkang.
“UMNO bukan sahaja untuk Melayu Bumiputera, tidak juga sekadar memimpin Barisan Nasional, tetapi UMNO adalah sebenar dan sesungguhnya, parti berkaromah untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata UMNO dalam usia lebih tujuh dekad semakin matang dan mengamalkan politik sihat serta cenderung kepada politik pemersatuan yang tidak ‘confrontational’ atau berwatak ‘kaki gaduh’, apatah lagi untuk mengaibkan, sampai sanggup membunuh karakter lawan.
Sebaliknya, Najib berkata parti pembangkang yang kononnya memperjuangkan hal ehwal rakyat hanya sibuk bersandiwara dan tidak mampu menyelesaikan kemelut dalaman parti, namun mahu mengambil alih pentadbiran negara.
Menarik perhatian, Najib berkata DAP sejak 50 tahun lalu hanya dikuasai penasihat dan dinasti anak beranak manakala PPBM gagal menguruskan hal ehwal mesyuarat parti itu.
“Parti Bunga Raya ini bukan nak mengata, maaf cakaplah, kita tidak nampak di mana nilai yang cuba dibawanya. Katanya ingin berjuang untuk orang-orang Melayu dan Islam tetapi berpakat dan sedang dijadikan perkakas oleh DAP yang terang-terang anti-Melayu dan Islam sebagai tercatat dalam perlembagaan DAP langsung tidak menyebut Islam sebagai Agama Persekutuan, bahkan matlamat mereka mahu menjadikan negara ini sekular sepenuhnya,” tambahnya.
Katanya, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad tergamak bersubahat dan bersekutu dengan ‘musuh politik’ dan ‘musuh prinsip’ beliau selama puluhan tahun yang lalu hanya untuk memenuhi tembolok agenda kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata.
Justeru, Najib mengingatkan rakyat membuat pilihan yang tepat supaya apa yang dibina dengan susah payah selama ini tidak ranap, musnah dan hancur berkecai.
Beliau berkata jika silap membuat pilihan, agama Islam dan syiarnya akan diperlekeh dan dihina, kedudukan institusi Raja-Raja Melayu tidak lagi dimulia selain institusi kebanggaan Melayu Bumiputera seperti Mara, Felda, Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Tabung Haji digagalkan objektifnya sekiranya pembangkang memerintah.
— BERNAMA

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget