July 2018

KUALA LUMPUR: Sebulan berkampung di Jakarta, Indonesia pada Ramadan lalu apabila terpilih mengendalikan program Aksi Asia, Uyaina Arshad bakal berulang-alik ke negara itu selama tiga bulan, bermula Oktober ini.

Uyaina atau nama sebenarnya Shaidatul Naseha Uyaina Arshad, 26, berkata, dia bakal menjadi pengacara program realiti baharu, Liga Dangdut selepas pihak produksi berpuas hati dengan penampilannya dalam Aksi Asia.





"Syukur apabila impian untuk mengacara program hiburan tercapai apabila saya diberi kepercayaan mengendalikan Liga Dangdut.

"Saya terharu dengan pemilihan dan kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan atasan produksi di sana, tambahan pula saya masih baharu di negara itu," katanya kepada BH Online.

Uyaina yang pernah mengendalikan program Nona di TV3 berkata, sejak memenangi pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 pada Mei lalu, rezekinya di sana semakin terbuka luas.

"Saya adalah pengacara luar pertama diberikan kepercayaan mengendalikan Aksi Asia. Saya banyak mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada rakan pengacara yang lain.

"Peluang ini sangat bermakna, malah menguji kemampuan sebenar saya sebagai pengacara serba boleh. Alhamdulillah dengan rezeki yang datang. Namun, saya turut berharap ruang di negara sendiri akan terbuka lebih luas selepas ini," katanya.

Mengakui tanggungjawab yang digalasnya semakin berat, Uyaina berkata, dia sudah mula membuat persediaan termasuk mengkaji lagu dan artis dangdut.

Katanya, program itu akan menampilkan pembaharuan dan sedikit berbeza daripada D'Academy Asia yang pernah dianjurkan. Tidak mahu bersendirian, pemergian Uyaina ke Jakarta akan turut ditemani ibunya.-Berita Harian

BANTING: Seorang guru Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad di sini, mendakwa suspek kelihatan gelisah selepas membunuh pembantu tadbir wanita sekolah itu.

Beliau yang enggan dikenali berkata, lelaki itu kebiasaannya akan bersikap peramah dan kerap bersembang dengannya.

"Namun, ketika memasuki pejabat kira-kira jam 2.30 petang tadi, dia hanya menundukkan kepala apabila saya bertanyakan di mana Pengarah (Pengarah kolej itu) sambil menunjukkan ke arah bilik.

"Dia seolah-olah memikirkan sesuatu dan mungkin baru menyedari apa yang sudah dilakukannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang juga ketua kerani di kolej itu, dianggap pekerja yang baik dan komited.

"Suspek juga seorang yang ceria dan rajin menegur semua guru dan kami sememangnya masih terkejut dengan kejadian ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mayat mangsa, Zaimah Mahmod, 57, ditemui di stor pejabat sekolah berkenaan akibat dicekik dan ditikam dengan pisau oleh suspek berusia 28 tahun yang juga rakan sekerjanya.

Usaha NSTP untuk menemubual keluarga mangsa bagaimanapun gagal.

Wanita yang berasal dari Terengganu itu adalah ibu tunggal dan bertugas di kolej berkenaan sejak 18 tahun lalu.-Berita Harian


PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon Adam Corrie, Fazema Mohd Fuad telah selamat melahirkan bayi lelaki pada Rabu.

Menerusi laman Instagram Adam memuat naik foto bersama bayi sulungnya yang lahir di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Ampang.

Malah, Adam Adam Corrie Lee Abdullah meluahkan rasa syukur menyambut kelahiran cahaya mata yang nama panggilannya, 'BabyLee'.

Adam berkongsi berita gembira kelahiran bayi sulungnya di Instagram miliknya.

"Alhamdulillah, bidadari saya sudah selamat melahirkan BabyLee tadi. Jutaan terima kasih yang mendoakan kesejahteraan kami.

"Senyum selalu. Selalu bersangka baik. Insya-Allah hati tenang," tulis Adam menerusi Instagram miliknya.

Rata-rata pengikutnya di laman Instagram turut mengucapkan tahniah dan mendoakan ibu serta bayinya dalam keadaan baik.

"Allhamdullillah. Tahniah. Semoga kelahiran cahaya mata ini mengeratkan lagi hubungan antara kalian dan amanah ini dijaga dengan baik sekali.

"Semoga Adam dan Fazi diberikan kesihatan yang baik-baik.

image: http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2018/07/11/isteri-adam-bersalin/~/media/799197ba81c94d75a12e7f454d060365.ashx?la=en



Adam dan isterinya, Fazema.

"Alhamdulillah. Selamat berpantang isteri Adam Corrie Lee. Semoga baby menjadi anak yang soleh.

"Assalammulaikum, tahniah tuan Adam Corrie Lee. Moga baby dan ibu bertambah sihat," tulis beberapa pengikutnya.

Sebelum ini, Adam pernah meluahkan rasa syukur apabila isterinya tidak perlu menjalani pembedahan untuk bersalin.

Menurut pelakon filem KL Gangster ini, dia akan berkongsi nama cahaya mata sulungnya itu selepas tujuh hari dilahirkan.

Adam dan Fazema, 40, berkahwin pada 2008.

PETALING JAYA: Sekiranya Pakatan Harapan (PH) menamakan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai Speaker Dewan Rakyat bakal mencetuskan pilihan raya kecil (PRK) di Kedah.

Penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran berkata ini kerana Johari juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun.

Surendan yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Serai berkata berdasarkan Perkara 57 (4) perlembagaan persekutuan, seorang Adun yang dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat mesti 'mengundurkan diri dari DUN sebelum menjalankan tugasnya.

"Pilihan raya kecil juga akan menelan wang dan ia sesuatu yang tidak diperlukan.

"Pakatan berjaya membentuk kerajaan negeri Kedah, DUN sekarang terikat dengan 18 wakil Pakatan Harapan dan 18 lagi wakil dari PAS dan Umno.

"Membuka jalan supaya pilihan raya kecil di Gurun akan menjadi langkah berisiko dan tidak bijaksana oleh Pakatan Harapan memandangkan keseimbangan kuasa yang tidak menentu," katanya.


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kini diletakkan dalam senarai individu yang dikehendaki.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengesahkan perkara itu berkata, notis merah Interpol telah dikeluarkan selain memaklumkan kepada pihak berkuasa United Kingdom mengenai Musa yang berada di negara berkenaan.

Menurutnya, buat masa ini tiada keperluan untuk menghantar pasukan bagi membawa pulang Musa yang kini sedang disiasat atas satu laporan polis terhadapnya.

“Ya..beliau (Musa) dalam senarai dikehendaki. Kita sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa United Kingdom bagi memantau Musa di sana,” katanya dalam sidang media Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Bukit Aman, Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut jangkakan Musa akan pulang ke negara ini dalam waktu terdekat.

Katanya, selepas beliau pulang nanti, tindakan menahannya akan dibuat berdasarkan undang-undang.

“PDRM percaya Musa akan pulang dalam waktu terdekat. Jadi, buat masa ini tiada keperluan untuk kita (PDRM) pergi ke sana untuk membawa beliau pulang,” katanya.

Musa dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, kini beliau berada di United Kingdom atas sebab perubatan dan urusan peribadi, sekali gus menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi pelarian selepas laporan intimidasi jenayah terhadapnya oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Musa mengesahkan beliau meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei. - Sinar Online


Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/07/11/musa-aman-dikehendaki/#xOHLiEowygEi4oDg.99

PEMAIN muda England, Dele Alli memberitahu pasukannya sentiasa ada kepercayaan untuk pergi lebih jauh.

Biarpun ada segelintir pihak yang tidak percaya dengan kemampuan skuad bimbingan Gareth Southgate itu, sebalik berlaku.

"Kami percaya dan tahu kami semua ada bakat dalam skuad ini.Kami juga tahu terdapat beberapa pemain yang luar biasa serta pengurus dan orang lain yang jelas apa yang kamu mahukan.

"Apabila kamu mempunyai kumpulan yang kukuh, ada asas dan faham apa yang mahu capa, ia bukn sesuatu yang mengejutkan, malah sesuatu yang baik buat kami.

"Sementara itu, Croatia yang mempunyai pemain terbaik perlawanan sebanyak tiga kali di Rusia ini, Luka Modric mengakui England mempunyai kelebihan tersendiri.

"England salah satu pasukan pilihan saya pada kejohanan ini kerana mereka mempunyai pemain muda, ghairah, pemain bintang yang menjadikan ia bukan mudah buat kami," ujar Andrej Kramaric merendah diri.

England bakal bertemu Croatia saingan separuh akhir pukul 2 pagi Khamis.


Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/sukan/fanatik-bola-2018/2018/07/11/england-croatia/#q4mzUYZTyGyqsc0u.99

15:40
IFA Raziah mendakwa rakaman pertengkarannya dengan Sheeda yang dimuat naik penyanyi lagu Angkat Kaki itu mempunyai sambungannya dan dia tidak akan menceritakan kejadian secara menyeluruh.

Ifa yang dihubungi mStar Online bagi mendapatkan reaksinya mengenai insiden itu memberitahu dia hanya akan mengeluarkan kenyataan sekiranya Sheeda mendedahkan video sambungan kejadian itu.

"Buat masa ini saya tidak mahu komen apa-apa. Tunggu langkah seterusnya daripada pihak Sheeda.

"Video itu ada tiga episod... Dia keluarkan video kedua, baru saya bagi kenyataan. Tunggulah video seterusnya," katanya Ifa kepada mStar Online.


Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2018/07/11/ifa-raziah-sheeda/#Dw8ClhmCrRAVQ5DI.99

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan menyiasat berhubung video seorang remaja diikat dengan akar pokok oleh beberapa pelajar sekolah sehingga menjadi tular.

Bagaimanapun, JPN belum mengetahui sama ada kejadian itu berlaku di negeri ini atau sebaliknya walaupun pertuturan yang digunakan mereka dalam loghat Kelantan.

Pengarahnya Muhammad Zahari Othman, berkata setakat ini JPN belum menerima sebarang laporan atau maklumat mengenai kejadian itu.

"Saya baru melihatnya menerusi laman sosial yang diviralkan petang tadi.


VIDEO seorang remaja diikat dengan akar pokok oleh beberapa pelajar sekolah sehingga menjadi tular.
"Apa pun saya akan menjalankan siasatan segera termasuk meminta setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ia betul," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata, klip video tural itu menunjukkan pelajar lelaki jelas dianiaya oleh pelajar lain yang lengkap berpakaian sekolah.

Katanya, pelajar yang menjadi mangsa dalam kejadian itu dinasihatkan supaya melaporkan kepada pihak sekolah atau polis bagi memudahkan tindakan tegas diambil mengenai kejadian itu.

SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan berdepan dengan satu lagi pertuduhan baharu kerana keluar negara tanpa mengikuti laluan sah.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, Jamal yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh akan didakwa mengikut Seksyen 51 Akta Imigresen 1953/1963.

Menurutnya, pertuduhan baharu itu adalah susulan laporan polis dilakukan pihaknya sebaik saja Jamal diekstradisi ke negara ini pada 5 Julai lalu.

"Tarikh sebutan kes itu adalah pada 31 Julai ini, dan pertuduhan itu dibuat susulan laporan polis oleh anggota kita selepas beliau (Jamal) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tempoh hari," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dengan pertuduhan baharu itu, Jamal kini menghadapi lima pertuduhan secara keseluruhannya.

Empat pertuduhan sebelum ini adalah dua mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan satu bagi kes Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 224 kerana melarikan diri dalam tahanan yang sah.

Jamal, 48, sebelum ini dipercayai menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor pada 25 Mei lalu.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu kemudiannya ditangkap Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) ketika sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta pada 2 Julai lalu.

GOMBAK: Pengasuh wanita berusia 33 tahun yang juga suspek utama kes bayi lelaki berusia lima bulan ditemui mati di rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, di sini disambung reman selama tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, seorang lagi suspek berusia 36 tahun bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

"Mahkamah Majistret Selayang melanjutkan tempoh tahanan bermula Rabu hingga 17 Julai ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, pengasuh itu bersama-sama lagi seorang wanita berusia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh bayi Adam Rayqal Mohd Sufi.

Tempoh tahanan reman mereka berdua berakhir hari ini.

Pada 3 Julai lalu, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya sebelum mayatnya ditemui anggota polis di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama pada hari kejadian.

Susulan itu, pengasuhnya dan seorang lagi wanita ditahan pada hari sama dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi berkenaan.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala.

BINTULU: Dua sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terkorban selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dinaiki mereka terbabas ke dalam parit besar di Kilometer 5 Jalan Sibu - Bintulu, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Munipah Marzuki, 24, turut tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, manakala anak lelakinya, Mohammad Haiman Abdullah, 2, dipercayai terhantuk pada papan pemuka, menyebabkan kedua-dua meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan sebentar tadi mengesahkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala akibat pelanggaran yang kuat.

Manakala, lima penumpang lagi, termasuk pemandu terselamat dan hanya mengalami kecederaan serta trauma susulan nahas berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, kenderaan dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Jepak menuju ke pusat bandar.

"Siasatan awal mendapati ketika kenderaan dinaiki mangsa menuruni bukit berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Bintulu, ia hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan, sebelum terhumban ke parit besar berhampiran.

"Bagaimanapun, siasatan terperinci sedang dijalankan oleh pihaknya bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya insiden terbabit," katanya.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu, bagi tujuan bedah siasat.

KOTA BHARU 9 Julai - Pas menentang sekeras-ke­ras­nya kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang me­nyarankan penutupan semua sekolah tahfiz kerana institusi itu bukannya me­lahirkan pengganas di negara ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan, saranan itu sebagai ke­nyataan tidak berakhlak dalam konteks Islam.


“Apa masalah sekolah tahfiz? Pelajar sekolah itu tidak pernah buat masalah pada negara, sama ada melahirkan ‘pengganas’ ataupun timbul isu kononnya sistem pendidikan mereka tidak selari dengan sistem pendidikan negara.

“Bahkan, (sekolah tahfiz) melahirkan ramai profesional seperti jurutera dan peguam, jadi saya fikir kenapa bebanan perlu dile­takkan kepada sekolah berkenaan? Pas bersungguh mempertahankan institusi itu kerana merupakan tempat yang berjaya melahirkan generasi berakhlak mulia dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan tazkirah sempena Kuliah Bulanan Wanita di Balai Islam Lundang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ke­luarga, Kebajikan Masyarakat dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi dan selebriti dakwah, Yatt Hamzah.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sebaliknya Zainuddin lebih baik membincangkan tentang masalah sosial yang melanda remaja di negara ini.

“Apa masalah yang melanda di negara kita sejak dahulu lagi? Isu dadah, mat rempit dan kebejatan masalah moral semuanya adalah berpunca akibat tiada didikan agama.

“Golongan yang terjebak de­ngan kancah masalah itulah yang perlu dibina asas jati diri bermula dari peringkat awal akibat al-Quran tidak disemai dalam sanu­bari mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas akan meletakkan calonnya di kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor sekiranya UMNO tidak menyertainya.

“Kita akan letak calon (Pas) kalau ada keperluan, tidak akan ada menang percuma begitu sahaja. Kita juga akan lihat sekiranya UMNO meletakkan calon atau tidak, tidak perlu rujuk mereka pun, cukup kita lihat sahaja dahulu.

“Ini kerana, semasa keputusan (Pilihan Raya Umum Ke-14) lalu, UMNO lebih banyak (mendapat undi) daripada kita,” ujarnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kenyataan-zainuddin-8232-tidak-berakhlak-8211-pas-1.706085#ixzz5KvY8WcUb
© Utusan Melayu (M) Bhd

SHAH ALAM: Perlembagaan UMNO perlu dipinda bagi memberi ruang kepada penambahbaikan dalam usahanya menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sesetengah terma dalam Perlembagaan itu menghalang kepemimpinan baharu parti itu untuk meremajakan semula UMNO.

"Kita perlu mengubah (Perlembagaan) mengikut peredaran zaman. Perkara ini akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu nanti selepas menerima maklum balas daripada pemimpin bahagian dan cawangan.

"Perlembagaan parti ketika ini lebih sesuai ketika BN (Barisan Nasional) masih menjadi kerajaan. Tetapi bukan ketika ini. Agak sukar membuat perubahan apabila Perlembagaan mengikat kita.

"Sebagai contoh, parti mempunyai sistem keahlian yang ketat. Jika Perlembagaan dipinda, kita boleh mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ahli bersekutu.

"Ini akan meluaskan jangkauan kita," katanya kepada pemberita selepas program Wacana Sinar Ke-64: Mampukah BN Bangkit Semula?, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Mohamad juga berkata, tidak perlu ada klausa dalam Perlembagaan yang membenarkan pemilihan parti ditangguhkan.

Berdasarkan Perlembagaan UMNO, pemilihan parti perlu diadakan setiap tiga tahun, tetapi ia boleh ditangguhkan sehingga 18 bulan.

"Jika Perlembagaan menyatakan tiga tahun, kita perlu mengadakan pemilihan parti setiap tiga tahun. Tidak perlu ada klausa. Ini yang menyebabkan akar umbi marah.

"Selain itu, pemimpin dan Ketua Bahagian juga akan bersikap acuh tidak acuh jika mereka berada dalam kedudukan sama untuk jangka masa panjang.

"Tetapi, jika kita adakan pemilihan setiap tahun, contohnya, mereka akan bekerja keras untuk mengekalkan kedudukan.

"Sekian lama kita bertolak ansur dengan ahli parti, tetapi bukan kepada parti itu sendiri. UMNO sudah ketinggalan jauh kerana ini. Kita perlu perubahan, transformasi dan menjual UMNO sebagai produk baharu yang diterima masyarakat.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis menjadi ujian kepada UMNO," katanya.

Sementara itu, Asyraf menekankan kepentingan untuk UMNO diberi wajah baharu, dengan menggalakkan orang muda memainkan peranan penting dalam parti itu.

"Kita perlu membuang tingkah laku sebelum ini yang angkuh dan jahil. Kita perlu mempunyai pendekatan baharu, lebih berhati rakyat.

"Sebagai pembangkang, kita perlu bertindak untuk menyemak dan mengimbang kerajan Pakatan Harapan," katanya.

MAE SAI, Thailand: Mangsa ke-11 berjaya dibawa keluar dari gua di Thailand, sebentar tadi, kata sumber tentera laut dan pegawai wilayah dalam usaha dramatik untuk menyelamat 12 remaja pasukan bola sepak dan jurulatih mereka yang dijangka berakhir hari ini.

"Individu ke-11 berjaya dibawa keluar," kata sumber tentera laut kepada AFP, yang enggan dikenali tetapi tidak mengesahkan sama ada yang diselamatkan itu remaja atau juru latih berusia 25 tahun.

Pegawai wilayah Chiang Rai berkata, mangsa ke-11 itu terus dibawa ke hospital lapangan. - AFP

SINGAPURA: Tabiat merokok bakal menjadi lebih sukar di Singapura, dengan kerajaan bercadang memasang 300 kamera pengesan haba definisi tinggi untuk menangkap dan mendenda perokok.

Republik itu sudah pun melaksanakan undang-undang antitembakau paling ketat di dunia dan merokok dilarang di kebanyakan tempat awam, dengan perokok didenda sehingga Sg$1,000 (RM2,974) jika ditangkap.

Rokok elektronik juga dilarang.

Pihak berkuasa kini bercadang memasang kamera pengesan haba canggih yang dapat mengesan apabila seseorang memegang rokok menyala di kawasan larangan merokok, menurut laporan Straits Times semalam.

Akhbar itu melaporkan, kamera berkenaan akan dipasang sekitar kawasan penempatan dan tempat awam lain seluruh Singapura dan juga mampu menangkap 'tindakan pengotor' terlarang lain seperti meludah dan membuang sampah.

Singapura mula memperkenalkan undang-undang antitembakau pada 1970-an sebagai sebahagian usaha kerajaan mengurangkan kadar merokok.

Sejak itu, ia meningkatkan bilangan tempat awam yang dijadikan kawasan larangan merokok, termasuk kampus universiti dan di kawasan biasa sekitar blok pangsapuri.

Merokok dalam kereta persendirian dibolehkan, tetapi tidak boleh menurunkan cermin kereta ketika berbuat demikian.

Singapura dijadikan bahan jenaka dengan digambarkan di atas baju T sebagai 'bandar raya amat baik' kerana bilangan dan saiz hukuman bagi kesalahan pelik, seperti menaikkan kemarahan orang awam dengan peralatan muzikal dan gagal mengepam tandas awam. - AFP

CHIANG RAI (Thailand): Semua 12 remaja pasukan bola sepak dan seorang juru latih yang berjaya diselamatkan dari sebuah gua di Thailand selepas lebih dua minggu terperangkap, tidak dibenarkan menerima tawaran menonton perlawanan akhir Piala Dunia di Moscow, kata seorang doktor, semalam.

Gambar pasukan remaja itu menjadi tular menyebabkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menjemput mereka pada 15 Julai ini sebagai tanda solidariti dari dunia bola sepak yang sudah pastinya menjadi impian kebanyakan peminat remaja bola sepak.

Bagaimanapun, idea itu mendapat bantahan doktor kerana semua remaja terbabit berada dalam keadaan baik tetapi proses pemulihan agak perlahan dan mereka perlu berehat di hospital selama seminggu.

"Mereka tidak boleh pergi, mereka perlu berehat di hospital," kata jurucakap kementerian kesihatan awam, Thongchai Lertwilairatanapong kepada wartawan hari ini apabila ditanya berhubung tawaran untuk menyaksikan perlawanan itu Ahad ini.

"Mereka hanya akan menonton menerusi televisyen," kata setiausaha tetap Kementerian Kesihatan Awam, Jedsada Chokdamrungsuk.

Usaha menyelamatkan semua remaja dan jurulatih berakhir, hari ini selepas lima lagi mangsa berjaya diselamatkan ketika misi menyelamat memasuki fasa terakhir.

Setakat ini tidak ada masalah kesihatan serius yang dikesan tetapi ibu bapa hanya dibenarkan melawat empat remaja pertama yang berjaya diselamatkan dengan memakai pakaian khas, selepas tempoh 48 jam.

Nasib yang menimpa semua remaja itu mendapat perhatian dan sokongan daripada seluruh bintang bola sepak dunia, bermula dari legenda bola sepak Brazil, Ronaldo; John Stones England dan Lionel Messi, Argentina.

Pasukan bola sepak 'Boars Wild' berjaya dikesan selepas sembilan hari terputus hubungan dan mereka ditemui di tebing berlumpur dikelilingi air, beberapa kilometer di dalam Gua Tham Luang di utara Thailand.

Semua mereka baru selesai menjalani latihan bola sepak ketika mula memasuki gua itu pada 23 Jun lalu dan ketika ditemui semuanya memakai jersi bola sepak. - AFP

MAE SAI, Thailand: Semua 12 remaja pasukan bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam sebuah gua di Thailand lebih dua minggu lalu berjaya diselamatkan, kata unit SEAL tentera laut Thailand, menamatkan misi menyelamat luar biasa yang menarik perhatian dunia.

Penyelam unit SEAL dan elit luar negara membawa keluar kumpulan terakhir empat remaja termasuk juru latih mereka, petang tadi menerusi laluan berbahaya yang memaksa mereka mengecilkan tubuh untuk melepasi laluan sempit dan dipenuhi air.

"Semua 12 remaja pasukan 'Wild Boars' dan juru latih mereka berjaya dibawa keluar daripada gua dan mereka selamat," kata unit SEAL menerusi laman Facebook.

Unit itu turut menambah perkataan 'Hooyah' sebagai meraikan kejayaan menyelamatkan semua remaja terbabit dalam tempoh dua hari.

Semua 12 remaja berumur antara 11 hingga 16 tahun bersama juru latih mereka, meneroka ke dalam Gua Tham Luang di kawasan pergunungan di utara Thailand pada 23 Jun lalu selepas menjalani latihan bola sepak.

Mereka berada di dalam gua selepas hujan lebat hingga menyebabkan paras air naik dan menyebabkan mereka terperangkap di tebing berlumpur yang dikelilingi air.

Mereka terperangkap di dalam gua yang gelap selama sembilan hari sebelum dijumpai dua penyelam Britain, dalam keadaan takut tetapi mampu tersenyum kepada dua penyelam itu untuk membuktikan semangat mereka kuat.

Bagaimanapun, kegembiraan awal susulan penemuan mereka seakan pudar apabila pihak berkuasa berusaha mencari jalan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap kira-kira empat kilometer jauh ke dalam gua dan terowong yang menjadi laluan ke arah mereka dipenuhi dengan air.

Pihak berkuasa pernah buntu seketika mencari jalan untuk menyelamatkan mereka hingga terpaksa memilih menggerudi lubang di kawasan gunung atau terpaksa menunggu musim monsun berakhir supaya mereka boleh berjalan keluar.

Keadaan itu menyebabkan ketua penyelamat pada satu ketika mengatakan usaha untuk menyelamat mereka adalah 'misi mustahil'. - AFP

Video

[Video][video]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget